Tuduhan Zina: Saya Tidak Akan Mohon Maaf Kepada Dr Hatta, Kata Ahli PAS

KOTA BHARU – Seorang ahli PAS Kuala Krai, Ali Omar, 28, bertegas tidak akan memohon maaf kepada Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli.

 

Malah, beliau sedia berjumpa dengan wakil rakyat itu di mahkamah, bagi menjawab segala tuduhan yang dilemparkan ke atasnya.

 

Ali yang menerima notis guaman daripada peguam Dr Hatta pada 13 September lalu, diminta membuat permohonan maaf secara terbuka di laman media sosial dan akhbar, selain menuntut ganti rugi RM3 juta daripadanya, kerana dikatakan memfitnah Dr Hatta berzina dengan isterinya, selepas perkahwinan beliau dan isterinya terbubar dengan talak tiga, kerana melanggar sumpah taklik yang dilafazkan, ketika menjadi calon PAS pada Pilihan Raya Umum lalu.

 

Malah, Ali mendakwa, tindakan undang-undang yang diambil Dr Hatta itu bertujuan menutup mulut pengundi di Parlimen Kuala Krai daripada terus mengkritik dan membicarakan pengkhianatannya terhadap PAS dan pengundinya.

 

“Saya selaku pengundi dan petugas parti di Kuala Krai mengulangi, kerusi Parlimen Kuala Krai adalah milik PAS dan dimenangi atas dasar pengundi inginkan PAS, bukannya atas nama Pakatan Rakyat seperti yang didakwa beliau.

 

“Sebagai buktinya, mengapa kerusi Parti Keadilan Rakyat di Machang, Ketereh dan Tanah Merah (kawasan Parlimen yang ditandingi PKR) tewas semuanya, sedangkan di peringkat Dewan Undangan Negeri dimenangi PAS,” katanya pada sidang media ringkas di Mahkamah Syariah, hari ini.

 

Jelasnya, Dr Hatta juga sering membangkitkan kononnya rakyat tidak mengundi PAS, sebaliknya mengundi Pakatan Rakyat, sebagai alasan tidak mahu meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Kuala Krai.

 

“Bersandarkan keadaan ini, maka saya tetap mendesak agar Dr Hatta meletakkan jawatan, bagi menyelamatkannya dengan politik bermaruah serta daripada tekanan perasaan berhubung isu lafaz bai’ah dan taklik yang diucapkannya.

 

“Selain itu, isu yang dibangkitkan dalam notis guamannya adalah isu makan elaun haram dan isu cerai talak tiga serta desakan meletak jawatan.

 

“Saya ingin tegaskan bahawa isu Akujanji atau bai’ah yang diucapkan Dr Hatta adalah satu fakta yang sedikitpun tiada percanggahan dengan lafaz bai’ah dan sumpah yang diucapkan beliau,” katanya yang ditemani peguam, Ismail Mohamed daripada Tetuan Hj Ismail & Co.

 

Jelasnya, isu-isu yang dibangkitkannya tidak bersifat fitnah, sebaliknya bertujuan menjaga maruah serta keturunan Dr Hatta, supaya ia dipelihara mengikut hukum syarak dan untuk menyelamatkannya daripada tanggungjawab serta sikap tidak beramanah beliau di akhirat.

 

Sementara itu, Ali berkata, tindakannya mempertikaikan status perkahwinan Dr Hatta yang sudah terbiar, disebabkan melanggar lafaz taklik, berpandukan kenyataan Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Mohammad.

 

“Saya menyokong penuh saranan Ketua Hakim Syarie Kelantan, agar Dr Hatta tampil dan merujuk status perkahwinannya ke Mahkamah Syariah, berikutan adanya lafaz cerai taklik itu.

 

“Lafaz cerai taklik ini sudah menjadi isu nasional dan diperdebatkan oleh umum. Maka, amat penting perkara ini dibawa ke mahkamah, supaya kita mendapat satu jawapan yang jelas,” katanya.

 

Menurutnya, beliau akan menyerahkan notis 14 hari bermula hari ini, dengan meminta Dr Hatta memfailkan tuntutan pengesahan lafaz taklik cerai itu di Mahkamah Syariah Kelantan atau mana-mana mahkamah yang berkaitan.

 

Katanya, jika gagal berbuat demikian, beliau akan membuat laporan kepada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, untuk menggesa tindakan diambil di bawah kesalahan syariah atau memfailkan permohonan untuk pengesahan sabitan terhadap isu bai’ah dan sumpah cerai taklik itu di Mahkamah Syariah Kelantan. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.