Tak Wajar Buka UiTM Kepada Bukan Bumiputera

BANGI – Saranan Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Dr Arshad Ayub untuk membuka peluang kepada bukan Bumiputera mengikuti pengajian di universiti berkenaan adalah tidak wajar.

 

Mantan Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UiTM Kampus Puncak Alam & Puncak Perdana, Qamarul Nazrin Harun berkata, tujuan asal pembukaan UiTM itu sendiri adalah untuk memberi hak istimewa kepada Bumiputera dalam bidang pendidikan, bukannya untuk bukan bumiputera.

 

Beliau turut menyangkal kata-kata Tan Sri Dr Arshad Ayub bahawa graduan UiTM hanya sekadar menjadi ‘jaguh kampung’.

 

“UiTM telah melahirkan ramai graduan bertaraf profesional hatta hingga di peringkat antarabangsa, tak timbul isu jaguh kampung,” katanya kepada Ismaweb.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr Arsyad pada minggu lepas yang mahu UiTM dibuka kepada bukan bumiputera bagi mewujudkan persaingan dan mengelakkan hanya ‘jaguh kampung’ yang dihasilkan di universiti itu.

 

Qamarul juga berpendapat bahawa pihak UiTM harus merangka strategi baru bagi melahirkan Bumiputera minda kelas minda pertama.

 

“Pihak UiTM sendiri haruslah merangka modul pendidikan yang lebih komprehensif bagi membantu penuntut Bumiputera UiTM agar lebih berdaya saing, berintelek, profesional dan berwawasan.

 

“Agar darinya lahir bangsa Melayu dan Bumiputera minda kelas pertama, setanding dengan bangsa lain di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

 

Qamarul yang juga graduan UiTM berkata, ia sekaligus dapat menjadikan bangsa Melayu dan bumiputera sebagai pemimpin di tanah sendiri dengan ‘acuan UiTM’ yang terus menerus melindungi hak keistimewaan bangsa Melayu dan Bumiputera. – Ismaweb

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.