RM7.2 Juta Kos Kawal Bersih 4.0 & Himpunan Rakyat Bersatu

KUALA LUMPUR – Kerajaan terpaksa menanggung kos perbelanjaan operasi berjumlah lebih RM7.2 juta bagi mengawal keselamatan dan ketenteraman perhimpunan Bersih 4.0 (Baju Kuning) dan Himpunan Rakyat Bersatu (Baju Merah) yang lalu.

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, untuk kawalan himpunan baju merah PDRM menggerakkan seramai 263 pegawai dan 3,648 anggota lain-lain pangkat.

 

Bagi operasi mengawal himpunan haram Bersih 4.0 pihak polis mengerahkan seramai 2,610 pegawai dan anggotanya.

 

“Kos keseluruhan adalah sebanyak RM4,500,927.50 bagi mengendalikan Himpunan Rakyat Bersatu.

 

“Bagi perhimpunan Bersih 4, pihak polis menggerakkan 191 pegawai dan 2,419 anggota yang diadakan pada 29 dan 30 Ogos. Kos keseluruhan yang digunapakai adalah sebanyak RM2,737,440,” katanya.

 

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menjelaskan demikian dalam jawapan bertulis bagi soalan Loke Siew Fook (DAP-Seremban) di Dewan Rakyat hari ini.

 

“Bagi kedua-dua penugasan yang terlibat, PDRM menggunapakai semua elemen dalam PDRM yang terdiri daripada keanggotaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Cawangan Trafik, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), dan Cawangan K9 JSJ, serta lain-lain elemen.

 

“Kesemua elemen ini adalah di bawah kawal selia ketua polis Kuala Lumpur,” kata Zahid.

 

Dianggarkan lebih 200,000 peserta terdiri dari orang Melayu dan Bumiputera menyertai himpunan baju merah, sementara perhimpunan Bersih 4.0 yang di dominasi kaum Cina merekodkan penyertaan hampir 100,000 orang. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.