Foto Viral Mayat Kanak-Kanak Sekolah Ditemui Tepi Longkang Bukan Di Seremban

KUALA LUMPUR – Pengguna media sosial sekali lagi digemparkan dengan gambar seorang kanak-kanak perempuan berpakaian sekolah yang ditemui maut di tepi longkang.

 

Gambar kanak-kanak tersebut yang masih berpakaian sekolah ditemui dalam guni dengan tangan dan kaki diikat serta mukanya dibalut dengan pita pelekat.

 

Difahamkan kejadian itu berlaku di Seremban, Negeri Sembilan dan ianya mula tersebar di laman sosial Facebook sejak semalam hingga menimbulkan keresahan orang ramai.

 

Turut ditemui di samping kanak-kanak malang itu adalah peralatan sekolah dipercayai miliknya.

 

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya tidak menerima laporan berhubung kejadian itu dan menafikan ianya berlaku di daerah itu.

 

“Ini semua adalah rekaan dan meletakkan gambar yang kejadiannya berlaku di luar negara.

 

“Ini adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab sehingga boleh meresahkan masyarakat dan menyusahkan pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

 

Beliau mengesahkan kejadian tersebut tidak berlaku di negara ini susulan pakaian pihak berkuasa yang berlainan daripada negara ini.
Menurutnya, pihaknya sedang meneliti gambar tersebut bagi siasatan.

 

Muhamad Zaki berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan menyiasat individu yang menyiarkan gambar tersebut.

 

“Kita menjalankan siasatan dengan meniliti gambar tersebut sebelum tindakan seterusnya dilakukan,” katanya.

 

Sebelum ini, gambar kanak-kanak yang ditemui maut dalam kotak mula tersebar dan pemeriksaan mendapati kejadian tersebut berlaku di Indonesia. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.