Bekas Penyelaras Projek Syarikat Telco Hadapi Dua Pertuduhan Terima Rasuah

SHAH ALAM – SEORANG bekas penyelaras projek syarikat telekomunikasi hari ini dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Shah Alam berhubung kesalahan menerima rasuah sebagai dorongan membolehkan seorang kontraktor memperoleh projek pengubahsaian ruang niaga alat-alat telekomunikasi, empat tahun lalu.

 

Yap Fee Kon, 56, pekerja Digi Telecommunication Sdn Bhd, yang menghadapi dua pertuduhan mengaku tidak bersalah.

 

Berdasarkan pertuduhan pertama, Yap dituduh menerima wang tunai RM3,000 daripada kontraktor Chan Wah Peng sebagai upah bagi membantu Syarikat C Two Art mendapat projek pengubahsuaian iaitu “Digilize for PDA Expert Samsung Kiosk’ di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur dan “Additional TV to PDA Expert DiGi Internet Kiosk”, juga di Plaza Low Yat.

 

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 1 Mac 2011, lebih kurang 11.50 malam di tempat letak kereta Restoran Ali Maju, Ukay Perdana, Ampang.

 

Di bawah pertuduhan kedua, Yap dituduh menerima suapan RM2,000 juga daripada Chan sebagai upah bagi dirinya bagi membantu Syarikat C Two Art mendapat projek pengubahsuaian iaitu “Design And Renovation Works For DSS Outlet” di Taman Plaza, Petaling Jaya.

 

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 21 Oktober 2011, lebih kurang 12 tengah hari, di Bangunan Blok B, Desa Petaling, Petaling.

 

Bagi kedua-dua kesalahan itu, Yap didakwa di bawah Seksyen 16( a )( A ) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

 

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

 

Bagi pihak SPRM, pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Shukri Seman.

 

Hakim Sabariah Atan menetapkan wang jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

 

Kes akan disebut semula pada 2 Disember.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.