VIDEO: ‘Samseng’ Mahu Rempuh UM, Mahasiswa Gesa Polis Ambil Tindakan

Kuala Lumpur – Gabungan Mahasiswa Bersatu menggesa agar pihak polis mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang sengaja ingin mencetuskan suasana tegang dan huru-hara yang berdegil untuk meneruskan penganjuran program Pidato Umum Anwar Ibrahim “Dari UM ke Penjara esok.

Menurut jurucakapnya Wan Mohd. Suhail Wan Senu yang juga merupakan Pengerusi Penggerak UM ketika ditemui berkata pihaknya telah menyerahkan satu memorandum kepada pihak polis di Balai Polis Pantai bagi menuntut tiga perkara.

Memorandum itu antara lainnya menggesa pihak polis untuk memastikan keselamatan para pelajar khususnya mereka yang enggan menyertai program tersebut dan pihak polis seharusnya mengambil tindakan terhadap mana-mana kumpulan atau individu yang sengaja mahu mewujudkan kekecohan di dalam kawasan universiti.

“Pihak kami sebelum ini telah menyerahkan dan memaklumkan kepada pihak polis berkenaan perkara ini bagi memastikan keselamatan para pelajar terjamin.

“Program tersebut yang tidak mendapat kelulusan pihak universiti itu” katanya ketika ditemui malam tadi berhubung perbincangan tertutup oleh Presiden Persatuan Mahasiswa UM, Fahmi Zainol yang didakwa mahu merempuh masuk sekiranya dihalang memasuki kawasan kampus UM.

Antara persatuan lain yang membantah program tersebut ialah Sekretariat Presiden-Presiden Kolej Kediaman UM dan wakil mahasiswa dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta Universiti Putra Malaysia.

Tambahnya lagi, Fahmi juga dikatakan tidak memaklumkan penganjuran program berkenaan kepada wakil Majlis Perwakilan Pelajar yang lain.

“Oleh itu, kami melihat ia merupakan seolah-olah agenda peribadi beliau dan tidak sepatutnya melibatkan mahasiswa UM dalam perkara ini,” jelasnya.

Satu ‘screenshot‘ Whatsapp sebelum ini telah tersebar meluas di laman sosial membabitkan perbualan beberapa orang pemimpin pelajar Universiti Malaya (UM) mengenai penganjuran program Pidato Umum Ketua Pembangkang di Dataran Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya.

Seorang mahasiswa Haikal Arafat sebelum ini berkata, hal tersebut membuktikan terdapat perancangan pihak penganjur untuk mencetuskan kekecohan dan ketegangan bagi memastikan program haram tersebut berlangsung.

Menurutnya, walaupun pihak pentadbiran UM telah mengeluarkan kenyataan bahawa program tersebut tidak mendapat kebenaran tetapi Fahmi dan kumpulannya tetap berdegil.

“Oleh itu, pihak pentadbiran UM perlu bertindak segera bagi memastikan kegiatan radikal seperti ini tidak berlaku di dalam UM.

“Sekiranya tiada tindakan tegas terhadap Fahmi dan rakan-rakannya, maka dikhuatiri masyarakat umum akan melihat pentadbiran UM seperti rela kampus tersebut dijadikan tempat membiaknya virus radikal dalam kalangan anak muda,” katanya lagi.

‘Pidato Umum Anwar Ibrahim 40 tahun, dari UM ke Penjara’ telah dirancang pada malam sebelum Mahkamah Rayuan memutuskan samaada Ketua Pembangkang itu dibebas atau dipenjarakan buat kali kedua.

Anwar sebelum ini memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan memutuskan beliau bersalah meliwat bekas pembantu khasnya, Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.

Anwar berkata beliau akan turun ke Universiti Malaya (UM) pada malam menjelang kes liwatnya dibicara di mahkamah tertinggi dalam negara ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata beliau mengetahui program anjuran Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) itu tidak mendapat kebenaran daripada pihak pentadbiran institusi itu.

Namun beliau tetap akan hadir bagi memberikan ceramah terakhirnya, sebelum nasibnya diputuskan mahkamah pada keesokan harinya.

Presiden PMUM, Fahmi Zainol sebelum ini menegaskan program bersama Anwar tetap akan diteruskan sebagai tanda solidariti terhadap Ketua Umum PKR itu.

Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2012 dan memutuskan beliau dihukum penjara lima tahun.

Pasukan pembelaan Anwar, yang kini diketuai oleh peguam kanan Sulaiman Abdullah, memfailkan 35 asas dalam rayuan ke atas sabitan di mahkamah tertinggi itu.

 

Baca: Mahasiswa Rancang Rempuh UM

 

Baca: VIDEO: Mahasiswa UM Tolak Pidato ‘Bekas Banduan’ Di Kampus

 

LAPORAN VIDEO AKAN MENYUSUL

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.