TI-M Gesa PDRM Pindahkan Pegawai Jika Serius Tangani Rasuah

Kuala Lumpur – Transparency International-Malaysia (TI-M) hari ini menggesa Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengambil langkah memindahkan pegawai ke tempat lain sekiranya mahu menangani rasuah dalam agensi tersebut.

Presiden TI-M Datuk Akbar Satar mencadangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menimbangkan untuk melaksanakan sistem giliran penempatan bagi setiap pegawai dan anggota keselamatan tersebut.

“PDRM perlu mengamalkan dengan tegas sistem giliran penempatan‎,” kata Akbar dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider hari ini.

“TI-M mencadangkan agar PDRM mempertimbangkan sistem giliran penempatan tidak melebihi tiga tahun di satu-satu lokasi untuk mengelakkan rasuah.”

Pemantau rasuah antarabangsa itu juga sebelum ini menyatakan kebimbangan terhadap reputasi dan integriti PDRM yang banyak dikaitkan dengan kegiatan rasuah.

“Di dalam Kajian Malaysia Corruption Barometer 2013, polis dan institusi politik terus dianggap sebagai institusi paling korup di Malaysia, yang turut konsisten dengan keputusan seluruh dunia di mana 36 negara melihat polis sebagai paling korup, badan kehakiman paling korup di 20 negara dan institusi politik di 51 negara,” katanya.

Sementara itu, Akbar menyahut baik tindakan Khalid yang memberi kata dua kepada PDRM supaya menghapuskan pusat perjudian haram.

“TI-M menyambut baik arahan tegas Tan Sri Khalid Abu Bakar yang memberi masa satu minggu kepada pegawai dan anggota PDRM untuk menghentikan aktiviti dan pusat perjudian haram di negara ini.

“Arahan ini jelas menunjukkan ketua polis negara berpendirian tegas mahu menghapuskan aktiviti perjudian haram habis-habisan. Tindakan tegas dan serius ini perlu dilaksanakan secara menyeluruh, berkesan serta berterusan,” katanya.

Bagaimanapun, Akbar menegaskan gesaan masih tidak memadai sekiranya masalah tersebut masih berterusan dan mendesak proses giliran dilaksanakan segera.

“Ketua polis negara seharusnya bertindak segera menukar pegawai yang tidak mengambil tindakan sebelum ini. TI-M pasti ada maklumat dalam perkara ini.

“Menjadi amanah dan tanggungjawab pegawai dan anggota PDRM mengambil tindakan awal, bukannya menunggu arahan Ketua Polis Negara semata-mata. Ambil tindakan secara professional demi meningkatkan integriti jabatan ini,” katanya.

Beliau juga menggesa supaya PDRM juga melipatganda usaha bagi memperkukuhkan integriti di kalangan anggota dan pegawainya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.