Tasha Shila Kurang Selesa Bergosip

Kuala Lumpur – Aktres jelita, Tasha Shilla mengakui dia sebetulnya kurang selesa mahu menyampaikan sesuatu gosip rakan-rakan artis lain. Namun semua itu dilakukan semata tugasnya sebagai hos sebuah rancangan hiburan, ‘Galaksi’, namun diluar waktu bersiaran dia tidak mengambil tahu lebih mengenai apa-apa kisah tentang mana-mana artis.

“Saya akui kalau nak bercakap tentang gosip rakan-rakan artis tu, saya kurang sikit (tak suka). Tapi saya hanya menjalankan tugas saya. Saya baca skrip. Pihak produksi pun ada mengingatkan saya supaya tidak menyebut nama artis yang mungkin berkaitan dengan gosip tersebut.

“Saya sibuk dengan jadual penggambaran saya. Saya cuma datang studio untuk waktuk bersiaran dan kadang-kadang lepas bersiaran saya terus ke set penggambaran semula. Saya tak ada masa sibuk-sibuk nak ambil tahu tentang gosip atau isu-isu artis lain.

“Saya terima tawaran mengacara tu pun sebab dapat sokongan dari pihak penerbit dan ia sebagai batu loncatan untuk saya cuba dalam dunia pengacaraan. Alhamdulillah, sudah empat bulan saya dan Ajak (Shiro) kendalikan program tu, saya difahamkan rating meningkat”, katanya kepada Malaysian Digest.com.

Tasha ditemui pada majlis memperkenalkannya sebagai pengacara bersama Anugerah Skrin 2014 di Sri Pentas, Bandar Utama baru-baru ini.

Kata Tasha lagi, dia sedar dirinya juga sering dilanda gosip dan cerita-cerita kontorversi. Bagaimanapun sebagai seorang selebriti dia tidak cepat melatah apabila timbul cakap-cakap sedemikian sebaliknya terus kekal positif dan fokus terhadap kerjayanya sebagai pelakon.

“Sudah tentu saya kecewa apabila ada saja gosip dan isu kontroversi mengaitkan diri saya. Tapi saya tak cepat melatah. Saya anggap ia adalah lumrah biasa sebagai seorang selebriti dan apa yang boleh saya lakukan kekal positif dan meneruskan kerja saya seperti biasa,” tuturnya yang sejak kebelakangan ini kerap dikaitkan dengan cerita-cerita panas dia dan kekasihnya, yang dikenali sebagai Hans.

Bagaimanapun Tasha tidak melihat perkahwinan adalah jalan terbaik bagi menamatkan segala cakap-cakap tidak baik tentang mereka. Katanya, sebagai manusia biasa dia hanya mampu merancang namun menyerahkan soal tersebut kepada jodoh kepada Allah.

“Kontroversi itu sama ada baik ata buruk, ia tetap beri publisiti kepada seseorang artis itu.

“Siapa tidak mahu berkahwin? Tetapi biarlah ia atas niat yang betul dan bukannya hanya kerana ingin memuaskan hati orang lain. Bagi saya sendiri usaha ke arah itu ada cuma masih belum sampai masa lagi,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Tash bakal menjadi hos bersama ASK 2014 yang bakal berlangsung pada 7 November ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Tujuh artis lain yang bakal bersamanya pada malam kemuncak itu nanti adalah Zul Ariffin, Amyra Rosli, Nabila Huda, Shukri Yahya, Fiza Sabjahan dan Fara Fauzana manakala Fahrin Ahmad bertindak sebagai hos utama.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.