Tamparan Buat Anwar, Hadi Tidak Hadir Mesyuarat

Kuala Lumpur – Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima tamparan hebat daripada sekutu politiknya apabila Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak muncul pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di bangunan Parlimen pada Isnin yang diadakan bagi meraih sokongan berhubung kes liwat pada Selasa dan Rabu.

Ketiadaan Abdul Hadi dalam mesyuarat penting sehari sebelum pendengaran terakhir rayuan Anwar berhubung kes liwat keduanya menimbulkan pelbagai tanda tanya daripada pengikut politik pembangkang yang selama ini merasakan pemimpin mereka bersatu.

Walaupun ini bukan kali pertama Abdul Hadi tidak melibatkan diri dalam mesyuarat yang dipengerusikan Anwar, namun ketiadaannya pada kali ini dilihat janggal terutama di saat Ketua Pembangkang itu mungkin berhadapan hukuman penjara jika gagal dalam proses rayuannya.

Seakan menutup perselisihan antara beliau dan Presiden PAS itu, Anwar pada permulaan sidang medianya lebih awal menyatakan bahawa Abdul Hadi tidak dapat hadir kerana mempunyai komitmen lain di Terengganu.

Seperti biasa, pada mesyuarat itu Abdul Hadi diwakili Timbalannya, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Al; Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta beberapa pemimpin PAS lain.

Pada Selasa dan Rabu ini, Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan terakhir Anwar berhubung kes liwat keduaanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh sebelum ini disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara yang dikenakan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu selepas mendapatinya bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar, 67, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

One thought on “Tamparan Buat Anwar, Hadi Tidak Hadir Mesyuarat

  • October 27, 2014 at 10:46 pm
    Permalink

    bila jadi pemimpin perkara yang perlu dielak sikap ‘menyebai’…perlu bersikap ‘sabaq’…jangan terlalu ‘melatah’…paling baik memiliki perangai ‘pemaaf’…hendak elok lagi jangan kedekut…gerenti 100% rakyat suka.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.