Selepas UIA, Raja Azmi Dihalang Masuk UiTM

Kuala Lumpur – Selepas Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, penerbit terkemuka, Raja Azmi Raja Sulaiman kali ini pula dilarang daripada mengadakan pertemuan bersama pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Penulis novel Karkuma sepatutnya dijadualkan hadir pada slot dialog bersama universiti tersebut yang berlangsung semalam bersempena dengan ArtFest anjuran Kelab Pengurusan Seni Anomalist UiTM Shah Alam.

Beliau sebelum ini dijemput untuk mengisi slot festival seni pada 15 Oktober lalu dan bersetuju untuk diadakan tayangan filem …Dalam Botol dan diikuti dengan sesi dialog bersama orang ramai.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak penerbitan novel berkenaan, Pengarah Merpati Jingga, Faisal Mustaffa berkata, pihaknya mendapat panggilan pada pagi semalam yang memaklumkan bahawa Raja Azmi tidak dibenarkan mengadakan sesi tersebut.

Menurutnya, berdasarkan surat pembatalan yang dihantar sendiri oleh Pengarah Program Rul Iman Nur Rahidzab, mereka dimaklumkan bahawa ia merupakan arahan daripada pihak atasan universiti dan dipercayai dinaungi oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Alumni UiTM.

“Pihak kami berusaha untuk bertemu dengan mana-mana pihak atasan yang dinyatakan di dalam surat berkenaan untuk mendapat penjelasan tetapi malangnya tiada sesiapa yang tampil untuk bersemuka dengan wakil kami mahupun Raja Azmi sendiri yang sudah sampai ke tapak acara bagi slot tersebut.

“Bagi pihak Raja Azmi dan penerbit novel Karkuma, kami menganggap tindakan pihak HEP yang menghalang Raja Azmi untuk berdialog dengan para pelajar adalah suatu yang tidak profesional dan cuba untuk menjatuhkan air mukanya,” katanya.

Tambahnya lagi, pada sesi lain, penulis buku puisi Tulangkata, Taufiq Azhar yang juga dijemput oleh pihak penganjur ArtFest mendakwa puisi yang sepatutnya dibaca di pentas terbuka Dewan Sri Budiman dipaksa menyerahkan kepada pihak penganjur untuk dipantau.

Jelasnya, Taufiq yang juga menerbitkan tulisan beliau di bawah label Merpati Jingga memaklumkan bahawa beliau hanya dibenarkan membaca puisi yang diluluskan oleh pihak penganjur.

“Kami ingin menekan bahawa halangan sebegini bukanlah etika dalam penganjuran sesebuah festival manakala notis yang dikeluarkan pada saat-saat akhir acara dilihat menyusahkan banyak pihak seperti di UIAM Kuantan, kami merasakan pihak HEP UiTM Shah Alam juga bertindak sebagai polis moral yang mengongkong kebebasan berkarya dan untuk memperoleh pengetahuan,” ujarnya.

Pihak Merpati Jingga ingin menyatakan di sini bahawa pihak penganjur yang ingin menjemput mana-mana penulis atau artis kami agar memeriksa dahulu dengan pihak atasan mereka sebelum menyusahkan banyak pihak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.