Sakinah Putuskan Tidak Mahu Besar-Besaran, Hanya Majlis Tertutup Dan Sederhana

Petaling Jaya – Aktres Sharifah Sakinah memberitahu dia tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran. Sebaliknya majlis yang akan diadakan pada 28 Mac tahun hadapan itu nanti akan diadakan secara sederhana dan tertutup.

Menurut pemilik nama sebenar, Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar, 25, majlis pernikahannya dengan tunangnya, Aliff Adha akan berlangsung di Kuala Lumpur namun pelakon drama Mimpi Sampai ke Bintang ini merahsiakan lokasi sebenarnya hari bahagiannya itu.

“Saya tak mahu majlis besar-besaran. Majlis kami nanti sederhana saja sebab sebetulnya saya tak suka suasana yang protokol. Saya lebih suka suasana yang intim, yang mana saya dapat berbual dengan para tetamu nanti. Acara bersanding pun tiada cuma nikah dan kemudian berkenalam rapat dengan ahli keluarga masing-masing dan para tamu.

“Majlis akan dibuat di Kuala Lumpur tapi di mana? Itu rahsia… Lagipun majlis nanti diadakan secara tertutup”, katanya ketika ditemui sejurus usai majlis pertunangannya yang berlansung pada Sabtu lalu.

Sakinah mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan hati, Aidil Adha, 26, yang juga merupakan seorang juruterbang syarikat penerbangan Firefly.

Berkongsi detik perkenalan mereka berdua, kata Sakinah, mereka diperkenalkan oleh seorang teman. Kemudian Alif berminat untuk mengikuti sesi fitness yang dikendalikan Sakinah. Sejak itu mereka mula rapat lebih-lebih lagi apabila Sakinah menjadi pelatih peribadi untuk Aliff.

“Saya single, dia (Aliff) pun single. Ada kawan kenalkan kami berdua. Sejak itu kami mula bermesej-mesej.

“Sebenarnya saya trainer dia. Dia ikut sesi fitness Sakinah yang saya jalankan. Kami mula kenal bulan Mac lalu, beberapa bulan saya melatih dia, lepas tu mulalah kami bercinta. Sekarang ni dia tak ikut lagi sesi fitness sebab kami sibuk bercinta”, kata Sakinah sambil tertawa.

Sementara itu, Aliff yang berada di sebelah Sakinah berkata dia memang menyukai Sakinah di dalam dia namun tidak menyangka yang aktres itu juga mempunyai perasaan yang sama.

“Saya memang suka dia, tapi dalam diam saja. Sebab saya ingat dia hanya suka lepak-lepak saja dengan saya. Tapi lama-lama kami jadi serasi. Sakinah ni dia tak pernah merajuk. Dia seorang yang tak main ‘drama-drama’. Dia jadi diri dia”, ujar Aliff.

Dalam pada itu celah Sakinah, walaupun tempoh perkenalan mereka hanya lapan bulan, namun mereka yakin dengan keputusan untuk mengakhiri hubungan tersebut dengan perkahwinan.

“Dia tak akan lamar saya kalau dia rasa saya belum bersedia. Bila dia dah lamar saya ertinya, dia dah bersedia dan dia pun tahu yang saya dah bersedia. Lagipun kalau asyik keluar bersama, tanpa apa-apa ikatan tak elok juga dipandang orang, kan.

“Apa yang penting sekarang ni, kami saling memahami dan saling mempercayai. Dia faham kerjaya saya dan saya pun faham kerja dia. Sebenarnya sifat dan perangai kami berdua sangat bertentangan. Dia seorang yang diam, saya pula dengan cara saya yang begini. Tapi ketidaksamaan itu yang membuatkan kami saling melengkapi”, tuturnya sambil tersenyum.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.