Pengguna Telefon Pintar Malaysia Antara Tertinggi Di Dunia

Kuala Lumpur – Penggunaan telefon pintar di kalangan rakyat Malaysia antara yang tertinggi di dunia, menurut laporan kaji selidik Google hari ini, di samping peratusan tinggi penggunaan Internet di kalangan remaja.

Dalam kaji selidik tersebut, Malaysia merupakan satu daripada lima tempat di dunia dengan penggunaan telefon pintar adalah lebih tinggi berbanding komputer pada paras 51% berbanding 39%.

Kaji selidik itu mencadangkan, pengguna di Asia bertukar daripada penggunaan “desktop” Internet kepada landskap laman sesawang baharu dan lebih menarik iaitu melalui penggunaan aplikasi mudah alih.

Malaysia berada pada tahap sama dengan negara jiran yang maju di Asia, seperti China, Hong Kong, Korea Selatan dan Singapura.

Lebih menarik lagi, 35% pengguna Malaysia daripada kaji selidik itu berkata, mereka secara eksklusif menggunakan telefon pintar sahaja untuk akses kepada Internet, menjadikan Malaysia sebagai negara nombor satu di dunia untuk akses Internet telefon pintar secara eksklusif.

“Ia adalah perkara menarik menyaksikan Malaysia berada dalam kedudukan lima teratas peringkat global,” kata Pengarah Urusan Google Malaysia Sajith Sivanandan (gambar) semasa taklimat media hari ini di KL Sentral.

Kaji selidik yang dibuat itu melibatkan 1,017 responden terdiri daripada pelbagai lapisan umur.

Daripada jumlah tersebut, remaja berusia antara 16-24 tahun merupakan kumpulan tertinggi yang menggunakan Internet berbanding kumpulan umur yang lain. Hampir 73% remaja menggunakan Internet setiap hari.

Kajian tersebut juga menunjukkan pengguna Internet telefon pintar di Malaysia melakukan banyak aktiviti pembelian atas talian, seperti pembelian tiket penerbangan, tempahan hotel dan lain.

Sebanyak 86% pengguna telefon pintar di Malaysia menempah tiket penerbangan secara atas talian, sementara itu 75% menempah hotel atas talian, 42% membeli pakaian, 37% untuk tempah tiket wayang, dan lain-lain.

“Ini merupakan kejutan terbesar kepada setiap perniagaan di Malaysia yang tidak mempunyai laman sesawang dengan ‘mobile-optimised’ atau aplikasi mudah alih.

“Pada 2014, pendekatan itu bukan lagi yang terbaik kerana anda seolah-olah menutup pintu kedai anda kepada pelanggan. Adalah sangat penting bagi setiap perniagaan berfikir mengenai mudah- alih terlebih dahulu dalam kehidupan seharian pengguna,” kata Sajith.

Selain Malaysia, akses Internet melalui telefon pintar juga tinggi di negara jiran seperti, Vietnam dengan 24%, pengguna Singapura sebanyak 16% dan 145 pengguna Korea Selatan dan Hong Kong.

Di dunia Barat, hanya menyaksikan trend digit tunggal seperti Jerman pada paras 7% dan United Kingdom (UK) sebanyak 6%.

Kajian yang dijalankan secara bersama syarikat kajian pasaran TNS Infratest itu juga juga mendedahkan apa yang dilakukan rakyat Malaysia dengan telefon mereka.

Pengguna Malaysia menggunakan telefon pintar untuk menyimpan gambar, hampir 65% responden menggunakan telefon pintar untuk tujuan tersebut.

Sebanyak 51% lagi menggunakan untuk bermain games dan 50% menggunakan untuk jam loceng. – Malaysian Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.