Pengarang Malaysiakini Mahu ‘Pemuja’ Henti ‘Bergayut’ Pada Anwar

Kuala Lumpur – Ketua Pengarang portal Malaysiakini, Fathi Aris Omar menyarankan agar penyokong pakatan rakyat meninggalkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berlajar untuk hidup sendiri.

Fathi melalui entri terbaru Facebooknya menyifatkan Anwar perlu direhatkan ‘dibangku simpanan’ kerana dilihat sebagai seorang pemimpin yang sudah jatuh sakit dan tidak lagi berkesan.

“Semua harus akur bahawa tiada guna bergayut pada sentimentaliti tokoh bernama Anwar.

“Seperti pemain ‘superstar’, jika sudah sakit atau tidak lagi berkesan, pemain harus direhatkan di bangku simpanan” ujarnya semalam.

Beliau turut mengesa agar mereka yang memuja dan mengagumi Anwar mengambil risiko untuk hidup sendiri sekiranya masih terus relevan dalam perjuangan reformasi bangsa.

“Mungkin kita fikir masih lagi remaja atau mentah. Namun jika ibu bapa kita pergi, kita harus belajar hidup sendiri – cari rezeki dan rumah sendiri.

“Kita harus ambil risiko meninggalkan Anwar dan semua seangkatan dengannya, dalam Pakatan atau di luar Pakatan.

“Lagi cepat kita berfikir untuk mengambil risiko bergerak tanpa Anwar (dan generasi seangkatannya), lebih baik untuk masa depan reformasi bangsa ini” tulisnya lagi.

Tinjauan SuaraTV mendapati status yang dimuatnaikan oleh Fathi itu turut di sokong oleh majaoriti kenalannya yang bersetuju dengan pandangan tersebut.

Status tersebut menerima 152 ‘Like’ dan 40 ‘Share’.

Apa yang menarik ialah, walaupun bertugas di sebuah portal yang pro-pembangkang, kenyataan Fathi ini jelas merupakan satu tindakan yang ‘biadap’ kerana berani mengkritik Anwar secara terbuka.

Beliau sebelum ini turut menyalahkan Anwar kerana dikatakan punca berlakunya krisis politik Selangor.

Sekiranya disabitkan dengan kesalahan ahli parlimen Permatang Pauh itu bakal dipenjarakan buat kali kedua.

Anwar sebelum ini memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan memutuskan beliau bersalah meliwat bekas pembantu khasnya, Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.

Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2012 yang memutuskan Anwar bersalah dan dijatukan hukuman penjara lima tahun.

Pasukan pembelaan Anwar, yang kini diketuai oleh peguam kanan Sulaiman Abdullah, memfailkan 35 asas dalam rayuan ke atas sabitan di mahkamah tertinggi itu.

 

Berikut adalah kenyataan penuh beliau berhubung perkara ini:

Kepada pengkagum, pemuja dan peminat Anwar Ibrahim (dan semua pemimpin seangkatannya); juga penyokong Pakatan Rakyat:

“In a world that’s changing really quickly, the only strategy that is guaranteed to fail is not taking risks.” — Mark Zuckerberg

Semua harus akur bahawa tiada guna bergayut pada sentimentaliti tokoh bernama Anwar.

Seperti pemain ‘superstar’, jika sudah sakit atau tidak lagi berkesan, pemain harus direhatkan di bangku simpanan.

Mungkin kita fikir masih lagi remaja atau mentah. Namun jika ibu bapa kita pergi, kita harus belajar hidup sendiri – cari rezeki dan rumah sendiri.

Kita harus ambil risiko meninggalkan Anwar dan semua seangkatan dengannya, dalam Pakatan atau di luar Pakatan.

Lagi cepat kita berfikir untuk mengambil risiko bergerak tanpa Anwar (dan generasi seangkatannya), lebih baik untuk masa depan reformasi bangsa ini.

Umar juga tidak dapat menerima kematian Rasulullah. Hanya Abu Bakar yang rasional dan strategik.

Pilihlah – nak jadi Umar atau Abu Bakar? Nak jadi budak-budak selamanya atau bebas daripada ikatan ibu bapa? Mahu dengar nasihat pengasas Facebook atau tidak?

 

 

(ii)

Kalau saya, ambil risiko lebih baik. Sama ada saya terpaksa merempat di sini; namun saya tidak akan kembali tinggal di rumah pusaka atau menziarahi pusaranya dengan linangan air mata.

Saya memang tidak bersentimental dengan gerakan atau tokoh politik.

Saya dekati, saya minati, saya ceburi, saya perjuangkan dan saya tulis apa yang saya fikir tanpa perlu bersentimental.

Sama ada Anwar dipenjara atau dibebaskan, pesan ini kekal relevan. Soalnya, bukan Anwar bersalah atau tidak; soalnya, suatu hari nanti Anwar akan pergi dengan cita-cita dan angan-angannya.

Saya harap pesan saya ini berguna kepada semua pengkagum Anwar dan penyokong Pakatan Rakyat.

Saya tiada dendam pada sesiapa seperti saya kagum pada (almarhum) Fadzil Noor. Tapi saya tiada sentimen dan sanggup berdepan dengan karenah PAS tanpa kepemimpinan Fadzil. Seperti berdepan karenah hidup sendiri tanpa usapan manja ibu.

Kita harus keluar daripada bayang-bayang Anwar (dan mereka seangkatannya). Jika tidak esok; lusa pastilah sudah.

 

 

(iii)

Dalam Quran, pesan seumpama ini disampaikan kepada Muhammad dan pengikutnya melalui surah “An Nasr”.

Surah ini meramalkan kemenangan merampas Makkah. Dan, sekali gus, membawa isyarat Nubuwwah tidak lama lagi akan berakhir.

Saya bukan menyampaikan wahyu. Saya tidak mampu meramalkan kemenangan. Saya hanya memberi pesan akan tiba sudah isyarat pertukaran generasi perjuangan reformasi.

Saya tidak maksudkan Anwar seorang sahaja. Saya maksudkan “Anwar dan angkatannya”, di dalam dan luar Pakatan.

Kalaulah anda mahu memahaminya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.