PAC Mahu SPRM Siasat Ketirisan Dalam Projek Pembinaan Kapal Penyelidikan UMT

Kuala Lumpur – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap pengurusan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berhubung kes pembinaan kapal penyelidikan dan latihan iaitu RV Discovery.

Pengerusinya Datuk Nur Jazlan berkata, PAC menyifatkan projek tersebut gagal sepenuhnya apabila bukan sahaja wujud kelewatan dalam pembinaan kapal tersebut, malah segala keputusan dan tindakan kepada kontraktor menimbulkan keraguan.

“Ini juga memberi tanggapan berlakunya pelanggaran tatalaku yang mencurigakan,” katanya mengenai projek itu yang didakwanya berlaku ketirisan selepas ia dibangkitkan laporan Ketua Audit Negara 2012 siri ke-3.

Selain itu katanya, PAC juga mengesyorkan tindakan berpatutan dikenakan kepada pegawai yang bertanggungjawab dalam projek itu di UMT, termasuk dua bekas Naib Canselor Prof Dr Datuk Aziz Deraman dan Profesor Emeritus Datuk Dr Sulaiman Md Yassin serta Pengarah Pembangunan Mohd Zaideen Yusoff.

“Jumlah tidak besar, tapi dari segi pengurusan prosedur kewangan, projek ini gagal sepenuhnya,” kata Nur Jazlan pada sidang media yang berlangsung di Parlimen hari ini.

Katanya, keputusan tersebut berdasarkan prosiding yang diadakan pada 2 April lalu, dihadiri Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan Prof Datuk Dr Zaini Ujang.

Pembinaan kapal RV Discovery ditawarkan kepada kontraktor Kaymarine Sdn Bhd membabitkan kos RM11.9 juta. Ia sepatutnya disiapkan dalam tempoh 8 minggu bermula 8 September 2008 hingga 22 Mac 2010.

Bagaimanapun, projek itu mengalami kelewatan selama 2 tahun dan hanya boleh digunakan UMT pada 18 Oktober, 2013 dengan kos tambahan RM2.40 juta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.