Nor Farhan, Manaf Mamat dalam radar T-Team

KUALA TERENGGANU: Dua tonggak utama Terengganu, Mohd Nor Farhan Muhammad dan Abdul Manaf Mamat, kini berada dalam radar skuad T-Team bagi menghadapi saingan Liga Malaysia, musim depan.

Penolong jurulatih T-Team, Azhari Salim, berkata selain dua pemain berkenaan, pasukan berstatus kelab dari Terengganu itu sedang mengenal pasti beberapa pemain bagi memperkuatkan skuad berkenaan.

“Pada masa ini, kami amat berminat mendapatkan khidmat Nor Farhan dan Abdul Manaf Mamat,” katanya, hari ini.

Beliau turut mengesahkan pemain tengah Terengganu, Mohd Nor Hakim Hasan, hampir pasti menyertai skuad T-Team tahun depan.

Dua pemain kelahiran Terengganu yang beraksi di luar negeri itu, Rosdi Zakaria daripada pasukan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan pemain kelab Sime Darby, Asroul Abdul Rahman, juga dijangka menyarung jersi pasukan itu pada musim depan.

“Kami sedang mengenal pasti anak-anak Terengganu yang kini menyarung jersi pasukan lain untuk memperkuatkan skuad T-Team selaras dengan hasrat Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman,” katanya.

Azhari berkata setakat ini, T-Team mengenal pasti 22 pemain tempatan yang bakal membawa cabaran kelab itu dalam saingan Liga Perdana tahun depan.

Sementara itu, beliau berkata skuad T-Team sedang menguji pemain dari Korea Selatan, Kim Tong Chan, bagi mengisi slot pemain import pasukan itu tahun depan.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.