Najib Tiba Di Dubai Untuk Hadiri WIEF Ke-10

Oleh: Massita Ahmad

Dubai – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini bagi menghadiri Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-10.

Pesawat khas yang membawa Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor mendarat di Dubai World Central Al Maktoum International Airport pada 9.30 Ahad malam waktu tempatan (1.30 pagi Isnin waktu Malaysia).

Beliau dan isteri kemudian dibawa ke Hotel Madinat Jumeirah Mina A’Salam dan ketibaan mereka disambut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Turut hadir para pegawai kanan kerajaan Malaysia dan WIEF.

Najib yang juga Penaung Yayasan WIEF akan menyampaikan ucapan khas semasa perasmian sesi pada 28 Okt ini.

Beliau juga dijangka mengadakan beberapa mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya bagi membincangkan isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang ada kepentingan bersama.

Bertemakan ‘Perkongsian Inovatif bagi Pertumbuhan Ekonomi’, forum tiga hari itu berlangsung di Hotel Madinat Jumeirah sehingga 30 Okt.

WIEF dianjur oleh Yayasan WIEF dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Industri Dubai.

WIEF ke-10 ini bertujuan membentuk kerjasama lebih baik antara negara, membawa era baharu kemakmuran ekonomi global.

Forum akan menghimpunkan sembilan pemimpin negara, 12 menteri, empat gabenor bank pusat, 181 pemain peranan dan lebih 2,000 perwakilan dari lebih 100 negara.

Selain daripada itu, Najib bakal berdepan dengan jadual ketat yang turut merangkumi beberapa acara penting dalam lawatan kerja beliau bermula Selasa ini.

Lawatan kerja beliau adalah atas jemputan Pemerintah Dubai yang juga Naib Presiden dan Perdana Menteri Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohammad Bin Rashid Al Maktoum.

Turut sama dalam delegasi Perdana Menteri ialah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Najib yang juga Penaung Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) dijangka menyampaikan ucaptama pada forum tersebut yang berlangsung selama tiga hari di sini bermula 28 Okt.

Beliau turut dijadualkan menghadap Sheikh Mohammad dan Timbalan Pemerintah Dubai Sheikh Hamdan Bin Rashid Al Maktoum yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan UAE.

Najib yang juga Menteri Kewangan dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan ketua-ketua delegasi lain termasuk Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev.

Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor turut dijadualkan menghadiri majlis makan malam bersama rakyat Malaysia di UAE.

Selain itu Najib juga dijangka melancarkan pesta agromakanan anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Lebih 300 rakyat Malaysia di Dubai akan menghadiri majlis ini,” kata Duta Besar Malaysia ke UAE, Datuk Ahmad Anwar Adnan kepada media Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja Najib, di sini pada Ahad.

Program lain Perdana Menteri ialah mengadakan rundingan meja bulat bersama peniaga UAE yang ternama dan berpotensi untuk berkembang di Malaysia.

Rundingan itu dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Menurut Ahmad Anwar ini kali kedua Perdana Menteri melawat UAE dalam tahun ini, namun pada lawatan Mei lalu Najib bertumpu di Abu Dhabi.

“Tumpuan kali ini adalah di Dubai. Selain menjadi tuan rumah bagi WIEF, ia merupakan sebuah bandar raya yang mempunyai cita-cita seiring dengan Malaysia iaitu menjadi pusat ekonomi Islam sedunia. Ia merupakan satu inspirasi jangka panjang.

“Ia akan memberi manfaat kepada Malaysia yang membawa aspirasi sama sebagai pusat kewangan sedunia,” katanya.

Namun, Ahmad Anwar berkata pendekatan kedua-duanya adalah berlainan.

Beliau berkata Malaysia boleh menjadikan Dubai sebagai gerbang masuk bagi meluaskan aktiviti ekonominya.

Kedudukan Dubai yang strategik memberinya beberapa kelebihan termasuk dikelilingi rantau-rantau yang menjadi pusat perkembangan sendiri, katanya.

Dubai hampir dengan kawasan Asia Tengah, rantau Teluk serta Afrika dan wilayah ini sedang berkembang dan telah melancarkan inisiatif yang menggalakkan perkembangannya.

Antara inisiatif yang diperkenalkan baru-baru ini ialah ‘masyarakat inovatif dan ‘Visi ke Marikh’.

“Sekarang masa yang tepat untuk datang ke Dubai, ketika begitu banyak sedang berlaku,” katanya.

Ahmad Anwar berkata beberapa pelabur akan bertemu Perdana Menteri termasuk Al Nowais Group, Naboodah dan Ascorp Holdings.

UAE merupakan rakan dagangan terbesar dalam kalangan negara GCC dengan nilai US$8.8 bilion tahun lepas dan trendnya meningkat.

Pelaburan diluluskan UAE di tangga kedua selepas Arab Saudi dengan nilai US$1.3 bilion dan menyediakan 500 pekerjaan di Malaysia.

Sekitar 6,000 rakyat Malaysia tinggal di UAE, iaitu tertinggi di negara itu dan kebanyakannya bekerja dalam sektor profesional terutama penerbangan, minyak dan gas serta perbankan Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.