Mayat Kedua Tragedi Jatuh Rakit Ditemui

Gua Musang – Pasukan Bomba dan Penyelamat menemui mayat mangsa kedua tragedi jatuh rakit di Sungai Ladang Aring kira-kira jam 4.30 petang Ahad.

Mangsa, Nasrul Hafis Shahrudin, 29, berasal dari Seremban ditemui kira-kira 50 meter dari tempat dia dilaporkan terjatuh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Gua Musang, Ahmad Nordin Ibrahim berkata, mangsa ditemui berhampiran kawasan rakannya yang berjaya dijumpai anggota penyelamat semalam.

“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tersangkut pada kayu sungai tidak jauh dari mangsa pertama yang berjaya diselamatkan.

“Permukaan air yang keruh dan berkeladak menyukarkan operasi mencari mangsa,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

“Mangsa yang masih belum berkahwin telah dituntut oleh keluarga dan akan dibawa pulang ke Seremban,” katanya.

Dalam kejadian semalam, 10 orang ahli Pertubuhan Bentara Sakti Kuala Lumpur yang menyertai aktiviti perkhemahan dan memancing di Sungai Aring bertukar tragedi apabila dua daripada mereka lemas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.