Hilang Nyawa Kerana Pistol Tiruan

Kuala Lumpur – Tindakan seorang lelaki yang menyamun sebuah pusat siber tidak berhasil, selepas ditembak mati anggota polis yang menyamar sebagai pelanggan di pusat berkenaan, di kawasan pusat perniagaan Taman Fadason, Jinjang, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R. Munusamy, berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 2 petang Ahad, apabila dua anggota polis yang merupakan detektif, curiga dengan kelibat suspek yang menaiki sebuah motosikal Yamaha RG Sport tanpa nombor pendaftaran.

Ketika itu, katanya, dua detektif berkenaan sedang bertugas dan membuat rondaan di sekitar Jinjang.

“Aksi suspek itu telah mencuri perhatian detektif berkenaan yang kemudiannya membuat perhatian terhadapnya.

“Suspek dilihat berulang-alik di hadapan pusat siber berkenaan, sebelum memberhentikan motosikalnya,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Menurutnya, seorang daripada detektif itu membuat keputusan masuk ke dalam pusat siber berkenaan dan menyamar sebagai pelanggan.

Katanya, beberapa minit kemudian, suspek telah masuk ke pusat siber itu dengan memakai topi keledar bertutup penuh dan terus meluru ke kaunter juruwang.

“Suspek mengacu sepucuk pistol ke arah penjaga kaunter yang merupakan seorang wanita dan meminta mangsa memberikan wang.

“Disebabkan suspek memiliki senjata, detektif yang berada di dalam pusat siber berkenaan telah berteriak menyebut ‘polis’, menyebabkan suspek terkejut, lalu mengacukan senjatanya ke arah detektif itu,” ujarnya.

Demi keselamatannya, detektif berkenaan bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek yang kemudiannya rebah.

Jelasnya, pemeriksaan ke atas mayat suspek mendapati, jari telunjuk kanan lelaki itu masih berada di picu pistol.

Tambahnya lagi, pistol itu adalah senjata tiruan, manakala beg sandang yang dibawa suspek mengandungi sejumlah wang tunai Malaysia dan Indonesia, serta satu pasport Indonesia yang dipercayai hasil samun.

Katanya, suspek mungkin berusia 24 tahun dan dipercayai turut melakukan samun di sebuah klinik di Jalan Jambu Air Mawar, Jinjang, setengah jam sebelum dia maut.

Mayat suspek dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.