Dira Kena Samun, Cermin Kereta Dipecahkan Di Lampu Isyarat

Hulu Kelang – Dira Abu Zahar  nyaris menjadi mangsa samun apabila cermin hadapan keretanya di bahagian penumpang telah dipecahkan oleh dua orang penyamun ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Ukay Perdana, Hulu Kelang, Selangor pada Jumaat lalu.

Menurut Dira ketika kejadian dia berseorangan dalam perjalanan dari pejabatnya ke sebuah bank berdekatan kawasan itu. Bagaimanapun, Dira bernasib baik apabila tinted (cermin gelap) yang dipasangnya menyebabkan cermin yang dipecahkan tidak berderai sepenuhnya.

Tindakan berani Dira yang bergelut hampir tiga saat bersama penyamun itu berjaya menyelamatkan beg tangan yang diletakkan di tempat duduk hadapan. Akui Dira, dia hanya tergamam selepas penyamun itu berlalu pergi meninggalkan keretanya selepas usaha mereka gagal. Dira telah membuat laporan polis di Balai Polis Ukay Perdana dan Hulu Kelang berhubung kejadian tersebut.

Kejadian yang menimpa Dira itu turut menarik perhatian peminat apabila dia memuat naik keadaan keretanya di akaun Instagram miliknya pada hari yang sama.

“Kejadian berlaku pada Jumaat lalu sekitar pukul 12.15 tengah hari. Ketika itu saya dalam perjalanan dari pejabat ke bank berdekatan. Saya memberhentikan kereta di­ persimpangan lampu isyarat kerana lampu merah. Sewaktu berhenti kerana menunggu lampu isyarat bertukar hijau, saya menghantar mesej kepada rakan. Saya kemudian terkejut apabila mendengar bunyi dentuman di sebelah penumpang hadapan.

“Saya sangat terkejut tetapi apabila melihat penyamun itu mahu mengambil beg tangan yang diletakkan di kerusi penumpang hadapan, saya jadi marah. Sudahlah saya kerja penat, senang sahaja penyamun itu mahu mengambil harta saya. Apabila marah, saya jadi berani dan langsung tidak takut. Nasib baik saya sempat rentap balik beg tangan daripada diambil penyamun. Selepas tiga saat mereka pun sedar bahawa usaha mereka gagal sebelum berlalu pergi. Selepas itu baru saya tergamam dengan tindakan saya.

“Saya memang sedar tindakan saya bahaya tetapi beg dan barang dalam beg itu harta saya yang diperoleh hasil kerja keras. Tingkap yang dipecahkan penyamun tidak berderai sepenuhnya, hanya terbuka sedikit, jadi saya fikir saya mempunyai peluang untuk selamatkan beg. Jadi, saya terpaksa bergelut dengan pe­nyamun”, katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.