“Beri Kami Masa Untuk Siasat”

Kuala Lumpur – Orang ramai diminta memberi masa dan ruang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat kesahihan sebuah klip video lucah membabitkan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa, berkata pasukannya telah memulakan prosedur siasatan ke atas video selama 38 saat itu yang memaparkan aksi seks antara seorang lelaki mirip UAI dan seorang wanita tidak diketahui.

“Beri kami masa beberapa hari untuk menjalankan siasatan. Kami ada beberapa proses yang telah diambil untuk mengelak sebarang kesilapan dan semua ini akan mengambil masa,” katanya kepada The Rakyat Post.

Jelasnya, polis juga sedang merekodkan kenyataan setiap individu yang dikatakan terbabit dalam video berkenaan.

Menurut Tajuddin, pihaknya turut bekerjasama dengan pasukan forensik untuk menganalisa kandungan video itu, bagi menentukan jika ia telah disunting.

Sebelum ini, satu klip video lucah selama 38 saat tersebar di beberapa blog, laman sosial Facebook dan WhatsApp sehingga menjadi topik hangat.

Bagaimanapun, pembantu UAI, Zulkifli Wahab tampil menafikan kesahihan video itu, malah dua laporan polis turut dibuat terhadap penyebaran video berkenaan.

Polis membuka kes di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan, kerana menyebarkan bahan lucah.

Hari ini, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi menggesa pihak berkuasa memandang serius dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terbabit dalam penyebaran video itu.

“Jika dibiarkan, kelak tidak perlu lagi sesiapa pun membogelkan orang lain, mereka sendiri akan rela hati membogelkan diri mereka,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.