Anwar Menyesal Tidak Usaha Secara Agresif Tawan Putrajaya

Kuala Lumpur – Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui antara penyesalan terbesarnya jika dikenakan hukuman penjara ialah, tidak berusaha untuk menawan Putrajaya.

Bercakap pada sidang media di Parlimen hari ini yang turut dihadiri pemimpin Pakatan Rakyat (PR), Anwar berkata dirinya menyesal kerana tidak agresif menentang kerajaan yang disifatkan kuku besi.

“Saya sepatutnya berusaha lebih kuat lagi. Saya sepatutnya lebih agresif melawan kerajaan,” katanya.

Rayuan Anwar akan didengar esok dan Rabu di Mahkamah Persekutuan berhubung hukuman lima tahun penjara yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, walaupun berharap keputusan akan berpihak kepada dirinya tetapi beliau sudah bersedia dari segi mental menghadapi sebarang kemungkinan.

“Kita pernah melaluinya sebelum ini. Seperti deja vu,” katanya merujuk kepada kes liwat pertama pada 1998.

Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) termasuk Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Lim Kit Siang, dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali hadir pada sidang media sebagai tanda solidariti terhadap rayuan Anwar esok.

Namun Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dikatakan tidak hadir ke mesyuarat PR hampir setahun, juga tidak kelihatan pada hari ini.

Anwar berkata, beliau akan hadir berucap di Universiti Malaya (UM) malam ini walaupun pentadbiran kampus melarang penganjuran program itu.

Menyifatkan larangan itu sebagai menyedihkan, Anwar membidas pentadbiran UM dan mengingatkan mereka supaya tidak menjadi alat Umno.

“Isu ini diperbesarkan dan menjadi perhatian negara. Anda sebagai ahli akademik dan profesor serta dekan bercakap seperti ketua Umno bahagian, tiada hormat terhadap kebebasan akademik dan ini untuk program pelajar.

Program “40 Tahun: Dari UM ke Penjara” dianjurkan Persatuan Mahasiswa UM (PMUM) walaupun Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Prof Datuk Dr Rohana Yusof memberi amaran program itu diharamkan.

Pentadbiran universiti juga memberi amaran kepada Presiden PMUM Fahmi Zainol, pelajar tahun akhir pentadbiran sosial dan kehakiman akan digantung pengajiannyaa serta denda jika terus berdegil.

Rohana dilaporkan berkata, UM tidak pernah membenarkan atau menyokong program sedemikian kerana melanggar peraturan kampus dan mampu mencalarkan imej universiti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.