Anwar Akan Berpidato Di Luar Pagar

Kuala Lumpur – Jika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dibenarkan memasuki Universiti Malaya untuk menghadiri pidato ’40 Tahun Dari UM Ke Penjara’ malam ini, acara tetap akan diteruskan sekalipun di luar pagar kampus, tegas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya Fahmi Zainol.

“Di peringkat kami sekiranya tidak boleh, kami tidak akan mengambil tindakan yang radikal. Kita mahasiswa kita bijak menilai.

“Kita akan buat di luar pintu pagar Kuala Lumpur untuk beliau memberi pidato,” katanya dipetik Malaysiakini.

Kata pemimpin mahasisiwa itu lagi, mereka tetap bertegas akan meneruskan program tersebut sebagai signal kebangkitan golongan mahasiswa, apatah lagi ianya mendapat sokongan padu daripada rakan seangkatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Walaupun sedia maklum berkemungkinan besar akan dikenakan tindakan tata tertib oleh institusi sendiri, namun kata kata Fahmi program tersebut adalah sebagai mesej jelas bahawa golongan pelajar tidak mudah tunduk dengan segala kemahuan kerajaan yang mengekang kebebasan bersuara mereka.

“Mahasiswa menghadapi kemungkinan diusir dari universiti, didakwa di mahkamah, malah dimasukkan ke penjara. Tetapi ini tidak sekali-kali akan melemahkan semangat dan tekad pelajar.”

“Kami jelak dan bosan mendengar semua prosedur rumit yang sentiasa dibangkitkan sebagai alasan mengekang kebebasan mahasiswa,” kata Fahmi.

Semalam, UM melalui Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof Datuk Dr Rohana Yusof mengeluarkan kenyataan melarang pelajarnya menyertai program Pidato Anwar Ibrahim: 40 tahun dari UM ke Penjara kerana ia diisytiharkan haram dan tidak mendapat kelulusan institusi tersebut.

Turut dimaklumkan, mana-mana pelajar yang didapati terlibat atau menyertai program tersebut akan dikenakan tindakan tata tertib oleh pihak universiti.

Malah kenyataan berkenaan juga menyebut pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil hal ehwal keselamatan kampus hari ini bagi menghalang program tersebut diteruskan.

Imej ‘print screen’ kenyataan tersebut yang dimuat naik oleh pihak tertentu, dipercayai pelajar, turut dikongsi oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar di laman sosial Twitter semalam.

Namun, Rohana dalam reaksinya hari ini menafikan mengeluarkan arahan larangan sedemikian dan tidak melibatkan polis dalam hal keselamatan universiti itu.

Program tersebut adalah anjuran Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM). Ia merupakan program terakhir Anwar sebelum Mahkamah Rayuan pada 28 Oktober memutuskan sama ada Ketua Pembangkang itu dibebas atau dipenjarakan buat kali kedua atas tuduhan liwat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.