28 Mac Tarikh Nikah Sakinah, Aliff

Petaling Jaya – Selepas menyulam cinta dalam waktu yang singkat iaitu hanya beberapa bulan akhirnya pelakon Sharifah Nurul Sakinah Abu Syed Bakar @ Sharifah Sakinah, 25, dan kekasihnya yang juga merupakan seorang juruterbang, Aliff Adha Dato’ Jamil, 26, mengambil keputusan mengikat tali pertunangan.

Majlis bersejarah mereka itu telah diadakan di rumah pihak perempuan, di Taman Melawati, Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Pasangan ini bakal melangsungkan perkahwinan iaitu pada 28 Mac tahun depan.

Kedua pasangan sama cantik sama padan ini mengenakan busana sedondon berwarna putih. Sakinah anggun mengenakan persalinan rekaan Cosryofficial dan cantik berseri ditatarias jurusolek Kasihcicie. Sementara tunangnya, Aliff segak dengan persalinan baju Melayu rekaan Saifulsin.

Berlangsung dalam suasana penuh meriah, majlis bertemakan warna putih ini bermula kira-kira jam 9 malam apabila tuan rumah menerima kunjungan rombongan pihak lelaki.

Sejurus itu, acara merisik diadakan terlebih dahulu dengan sesi berbalas pantun di antara keluarga dua belah pihak.

Kemudian majlis diteruskan dengan perbincangan mengenai jumlah wang hantaran. Bagaimanapun, kedua-dua keluarga pasangan yang dirai ini memutuskan untuk merahsiakan jumlah hantaran dari pengetahuan umum.

Seterusnya upacara menyarungkan cincin oleh ibu Aliff, Datin Rodzi Abdullah ke jari Sakinah.

Pada majlis pertunangan itu, Sakinah memberikan tujuh dulang hantaran kepada Aliff yang terdiri daripada manisan seperti cupcake, pai peach, macaroon, kek, coklat (brand Patchi), buah-buahan dan sireh junjung

Sementara pihak lelaki pula membalas lima dulang hantaran yang juga terdiri daripada manisan iaitu coklat (Patchi), buah-buahan, kek, telekung dan sebentuk cincin.

Majlis juga dimeriahkan dengan kehadiran ahli keluarga terdekat seperti pelakon Sharifah Shahirah (Shira) dan keluarga, Sharifah Haslinda, Datin Maria Arshad (ibu mertua Shira), rakan-rakan media serta rakan selebriti antaranya pelakon Marsha Milan Londoh, Jehan Muse, Nad Zainal, Siti Saleha dan pengarah Michael Ang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.