Video: Pelanggan ‘Kantoikan’ Peniaga Taufu Fah Kitar Semula Mangkuk Plastik

PETALING JAYA – Seorang peniaga taufu fah ditangkap sedang leka membasuh semula mangkuk plastik dengan cara tidak bersih di atas trak makanannya di Bandar Sunway dekat sini.

Pengguna Facebook, Selva Jai Raam merakamkan aksi peniaga tersebut mencelup mangkuk plastik yang sudah digunakan pelanggan lain ke dalam sebaldi air tanpa menggunakan sabun pencuci.

“Pak cik apa yang anda sedang lakukan? Saya buang mangkuk itu tetapi saya lihat anda ambil semula kemudian cuci,” tanya Selva kepada peniaga tersebut.

Selva turut mendakwa dia menyaksikan perbuatan tidak beretika peniaga tersebut buat kali kedua.

Peniaga tersebut menjawab dia sedang membasuh mangkuk plastik itu dan dia pernah membuat perkara sama sebelum ini.

“Tiada minyak di dalam mangkuk tersebut,” kata peniaga terbabit.

Ketika Selva bersemuka dengan peniaga terbabit, lelaki tersebut berulang kali memberitahu “saya berani makan, saya berani jual.”

Selva kemudian berkata,”Saya tidak sanggup makan makanan ini… saya akan muatnaik video ini di Facebook.”

Selva memuatnaik video berdurasi 80 saat itu di akaun Facebook miliknya pada hujung minggu lalu.

Video tersebut dikongsi lebih 10,000 kali oleh pengguna Facebook.

Malah video tersebut turut ditonton sebanyak 500,000 kali dan kebanyakan pengguna Facebook jijik dan marah dengan perbuatan peniaga terbabit.

Asyikin Amir berkata amat penting untuk mencuci mangkuk dan perkakasan lain dengan sabun dan air bersih.

“Jika menggunakan air yang mengalir ia masih lagi okay. Tetapi anda perlu cuci dengan sabun untuk memastikan kebersihannya.

“Bukan menggunakan air dalam baldi yang sama tanpa menggunakan sabun, itu tak bersih,” katanya. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.