UMNO Pahang Tumpu Usaha Kembalikan Kepercayaan Rakyat

MARAN: Mengembalikan semula kepercayaan rakyat adalah antara fokus utama dibawa UMNO Pahang pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 (PAU2018) yang berlangsung Sabtu dan Ahad ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pihaknya akan diwakili oleh Ketua Penerangannya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

“Beliau akan bercakap mengenai perkara menjurus bagaimana untuk memberi keyakinan semula kepada rakyat terhadap UMNO.

“UMNO perlu cari jalan bagaimana untuk kembalikan keyakinan rakyat, masih ramai percaya kepada perjuangan UMNO.

“Jadi seharusnya sebagai pemimpin dan anggota parti, kita teruskan perjuangan dilakukan selama ini dan beri perkhidmatan terbaik khususnya di kawasan dimenangi termasuk Pahang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis mesra Menteri Besar bersama rakyat sempena lawatannya ke Maran di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang juga ADUN Kuala Sentul.

Wan Rosdy juga berkata, kerjasama antara UMNO dengan PAS di peringkat negeri adalah subjektif yang dapat dilihat menerusi pelbagai pendekatan termasuk dari segi kehadiran pemimpin PAS pada program anjuran Kerajaan Negeri dipimpin BN.

“Macam hari ini di Maran, ada ADUN PAS (ADUN Chenor, Mujibur Rahman Ishak dan ADUN Luit, Mohd Sofian Abd Jalil) hadir ke majlis kita, ia adalah satu kerjasama.

“Dalam sidang dewan (Dewan Undangan Negeri) mereka beri pandangan baik yang kita akan pertimbang, mereka pun tidak membantah secara tidak tentu pasal,” katanya.

Beliau berkata, UMNO Pahang sentiasa bersedia bekerjasama dengan pemimpin PAS di negeri ini dalam sebarang bentuk memberi manfaaat kepada rakyat. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.