Sultanah Terengganu Mahu Saman Clare Rewcastle-Brown

SHAH ALAM – Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah akan memfailkan saman terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown bersabit dakwaan fitnah konspirasi membabitkan 1MDB dan Low Taek Jow atau Jho Low.

Memetik kenyataan peguamnya, Datuk Mohd Haaziq Pillay, saman oleh Sultanah Nur Zahirah itu berkenaan dakwaan-dakwaan yang terkandung dalam buku “The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose”.

Menjawab soalan berhubung tindakan Sarawak Report yang mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya tidak mengaitkan Sultanah Terengganu dengan kandungan buku terbitan mereka, Mohd Haaziq tegas mengatakan bahawa saman itu tetap akan diteruskan.

“Ia mengaibkan dan mereka tidak memikirkan perasaan Sultanah Nur Zahirah ketika membuat dakwaan itu.

“Hanya selepas pihak kami mahu memfailkan saman, mereka (Sarawak Report) mengemukakan penjelasan terhadap dakwaan itu. Mengapa ia tidak membuat pengesahan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan? Kami tidak boleh menerima permohonan maaf ini dan tetap akan meneruskan saman itu,” katanya dipetik Berita Harian. 

Clare didakwa membuat kenyataan memfitnah di dalam buku ‘The Sarawak Report: The Inside Story of The 1MDB Expose’ yang mengaitkan Sultanah Terengganu dengan Jho Low serta skandal 1MDB.

Setiausaha Dewan Pangkuan Diraja Terengganu sebelum ini ada mengeluarkan kenyataan menafikan sekeras-kerasnya pembabitan Sultanah Nur Zahirah sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam apa-apa urusan pentadbiran kerajaan dan secara khususnya penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA).

Buku itu didakwa menceritakan kisah di sebalik siasatan skandal 1MDB oleh Clare yang dilancarkan pada 8 September lalu.

Sementara itu portal Sarawak Report hari ini menyiarkan kenyataan bahawa mereka mengesahkan kandungan di dalam buku itu tidak menunjukkan bahawa Sultanah Terengganu ada konspirasi dengan Jho Low atau terbabit dalam urusan 1MDB.

Menurut kenyataan itu lagi, perkara berkenaan disalah tafsirkan kepada Sultanah oleh pihak yang mahu menimbulkan masalah. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.