Dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau yang dibuat oleh pentadbir media sosial Ahli Parlimen Baling  itu , Abdul Azeez menyifatkan penahanannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai harga yang perlu dibayar untuk sebuah perjuangan.

Dalam hantaran itu, Abdul Azeez yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) berkata, beliau tidak akan sekali-kali meninggalkan perjuangan UMNO dan berdiri teguh bersama parti tersebut walaupun terpaksa ke penjara.

“Inilah harga yg perlu saya bayar untuk sebuah perjuangan. Jika saya telah keluar dari UMNO minggu lepas, anda tidak akan lihat saya begini (berbaju lokap SPRM dan bergari) hari ini.

“Namun walau apa pun dugaan atau rintangan atau ugutan yang datang, hatta ke penjara sekalipun saya tetap tidak akan meninggalkan perjuangan parti keramat UMNO ini,” kata Abdul Azeez.

Abdul Azeez, abangnya dan sepupu ditahan reman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret Putarjaya. Ketiga-tiga mereka tiba pada pukul 10.30 pagi dengan memakai baju lokap SPRM berwarna jingga dan tangan digari.

Abdul Azeez ditahan di Ibu pejabat SPRM pukul 11.15 pagi kelmarin ketika hadir untuk memberi keterangan kepada suruhanjaya berkenaan.

Abang Abdul Azeez merangkap Pengurus Besar sebuah syarikat pengurusan hartanah ditahan pada pukul 11.30 pagi pada hari yang sama di S­ungai Buloh, Selangor manakala sepupu mereka yang memegang jawatan sebagai Pengarah Syarikat ditahan pada pukul 5.30 petang di Ibu pejabat SPRM.

Difahamkan, ketiga-tiga suspek direman bagi membantu siasatan dalam pelbagai kes rasuah termasuk projek Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).-UTUSAN ONLINE