RM43.3 Juta Dana Pilihan Raya Hilang Semasa Serbuan Polis, UMNO Tuntut Ganti Rugi

KUALA LUMPUR – UMNO menuntut ganti rugi RM43.3 juta daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan dakwaan kehilangan wang parti itu ketika serbuan dan rampasan oleh pihak berkuasa berkenaan di sebuah apartmen di Pavilion Residences, Jalan Raja Chulan, Jun lalu.

Tuntutan itu dibuat menerusi permohonan yang terkandung dalam writ saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini, Jumaat lalu.

UMNO mendakwa wang yang disimpan di apartmen milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu adalah sebanyak RM160 juta, bukan RM116.7 juta seperti diumumkan polis.

Dalam writ berkenaan menerusi perenggan ke-12, UMNO menerusi Tetuan Scivetti & Associates menuntut PDRM membayar ganti rugi wang yang hilang itu.

Parti itu mendakwa wang itu adalah baki dana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), milik UMNO dan disimpan oleh Najib.

“Dana RM160 juta adalah milik UMNO dan dipegang oleh Najib selaku pemegang amanah.

“Bagi memastikan keselamatan dana itu, Najib menyimpannya di sebuah apartmen di Pavilion Residences dengan persetujuan pemilik premis iaitu OBYU Sdn Bhd dan hanya beliau (Najib) yang ada milikan eksklusif ke atas premis itu,” menurut writ itu.

Ganti rugi itu adalah antara tuntutan UMNO kepada PDRM yang turut menuntut pemulangan semula RM116.7 yang disita polis selain ganti rugi terhadap hak untuk menggunakan dana itu sejak 17 Mei lalu disamping ganti rugi am, teruk dan teladan.

Dalam writ saman itu, UMNO selaku plaintif mendakwa mereka adalah pemilik wang tunai RM160 juta berkenaan dan PDRM selaku defendan secara salah mengganggunya dengan menyita secara tidak sah dan merampas serta mengambil alih pemilikan dana terbabit.

Plaintif mendakwa sudah menuntut pengembalian dana itu bagaimanapun defendan gagal, cuai dan enggan berbuat demikian.

UMNO dalam saman itu menamakan Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Sakri Arifin; Asisten Komisioner R Rajagopal daripada JSJK Bukit Aman; Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan kerajaan sebagai defendan.

Susulan penyerahan writ saman itu, semua defendan mempunyai tempoh 14 hari dari tarikh penyerahan terbabit untuk memasukkan kehadiran masing-masing.

Permohonan itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Rumaizah Baharom, jam 9 pagi pada 15 Oktober ini.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, UMNO turut memohon deklarasi bahawa penggeledahan dan penyitaan yang dilakukan pada 17 Mei lalu di premis itu adalah salah di sisi undang-undang.

Sementara itu, usaha mendapatkan maklum balas daripada Mohamad Fuzi dan Amar Singh berhubung isu itu gagal berikutan kedua-duanya tidak membalas panggilan telefon. – BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.