Puji Pentadbiran Sendiri, Donald Trump Jadi Bahan Ketawa Delegasi Di PBB

NEW YORK – Salah satu ayat kegemaran Donald Trump setiap kali menyerang musuh politiknya ialah ‘dunia sedang mentertawakan Amerika’.

Namun, pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York semalam, perkataan itu akhirnya terkena batang hidung Trump.

Delegasi dan pemimpin dunia yang hadir di UNGA tertawa sinis apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) itu secara angkuh memuji pentadbirannya sebagai terbaik dalam sejarah AS.

“Setahun yang lalu, saya berdiri di hadapan anda buat kali pertama. Saya berbicara mengenai ancaman dunia dan menawarkan visi untuk mencapai masa depan lebih cerah untuk manusia sejagat.

“Tetapi hari ini, saya berdiri untuk memberitahu anda mengenai kemajuan luar biasa yang telah kami kecapi.

“Dalam tempoh kurang dua tahun, pentadbiran saya telah mencapai banyak kejayaan yang tidak pernah dilakukan setiap pentadbiran sebelum ini.

“Dalam sejarah AS, pentadbiran saya adalah yang paling cekap,” kata Trump.

Ucapan Trump itu sekali gus mengundang gelak tawa hadirin dan seperti tidak percaya beliau berkata: “Ya, betullah,”

Namun, hadirin sekali gali mentertawakan Trump yang jelas menunjukkan reaksi kurang senang dengan wajah merah padam.

“Saya tidak menjangkakan reaksi seperti ini. Tapi tidak mengapa, semuanya OK,” katanya sambil tersenyum.

Biarpun berucap lebih setengah jam, insiden Trump diketawakan delegasi dunia antara momen yang paling banyak mendapat liputan media AS dan antarabangsa.

The Washington Post dan Time misalnya membawa pembacanya untuk mengimbau kembali kenyataan Trump sebelum dilantik presiden.

Trump kerap mengkritik pentadbiran Presiden Barack Obama dan secara sinis menuduh Obama sebagai punca AS ditertawakan masyarakat dunia.

“Sejak tahun 80-an, Trump sering mengkritik setiap presiden dengan mendakwa ‘dunia sedang mentertawakan AS’ atau ‘dunia fiir kita bodoh’.

“Tetapi, semua itu terkena batang hidungnya sendiri dan inilah kali pertama Presiden AS diketawakan secara terang-terangan di perhimpunan dunia,” kata penganalisis dari Institut Brookings, Thomas Wright.

Sementara itu, seperti biasa Trump menganggap isi ucapannya sebagai hebat ketika diminta mengulas insiden diketakwan delegasi UNGA oleh wartawan.

“Oh, itu hebat. Ketika berucap, saya memang memancing gelak tawa dari hadirin. Ia disengajakan dan ia berjaya,” ujarnya. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.