PAS Letak Calon Lawan Anwar Di PRK Port Dickson – Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Pas akan meletakkan calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober ini.

Keputusan itu diumumkan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam sidang akhbar selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat di Rusila, Terengganu, malam tadi.

Walau bagaima­napun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung identiti calon Pas yang bakal diumumkan malam esok di Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Orang yang ada pengaruh di Port Dickson,” katanya seper­ti dipetik daripada rakaman video sidang akhbar tersebut yang disiarkan dalam laman Facebook Pas Pusat.

Abdul Hadi menambah, calon Pas tersebut juga setanding dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terlebih dahulu mengumumkan kesediaan untuk bertanding di kerusi yang dikosongkan oleh Datuk Danyal Balagopal Abdullah itu.

Beliau turut menafikan hasrat Pas untuk bertanding itu mempunyai kaitan dengan matlamat menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri.

Pada masa sama, Abdul Hadi percaya keputusan Pas tersebut tidak menjejaskan kerjasama antara partinya dan UMNO.

“Kita parti yang berasingan. Kita kerjasama sahaja. Kita tak tubuh satu gabungan. Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pun kita tanding lawan UMNO,” jelasnya.

Seperti yang dijelaskan oleh Abdul Hadi, keputusan itu dibuat berdasarkan kepada peningkatan sokongan rakyat dalam PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dan PRK DUN Seri Setia sebelum ini.

“Kita menyaksikan pula banyak rungutan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) dan yang memerlukan rakyat meluahkan perasaannya dalam pilihan raya,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.