PAS Bukan Saingan Anwar Di PRK PD

PORT DICKSON: PAS bukan saingan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson ini 13 Oktober depan.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Dr Hasan Baharom, berkata PH yang diwakili Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menang mudah dalam PRK Port Dickson.

“PAS bukan saingan untuk Anwar, malahan Anwar boleh menang mudah (dalam PRK Port Dickson), mereka hanya sekadar bertanding dan kita tahu mengapa mereka masuk bertanding.

“Itu hak dia (PAS) nak tanding. Calon kita (PH) semua orang tahu kerana beliau juga bakal Perdana Menteri Kelapan. Kita percaya semua orang mahu Datuk Seri Anwar menang dan angkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat selepas menang nanti,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Bilik Operasi Pemuda Amanah di Taman Belida di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pemuda Amanah Pusat, Mohd Sany Hamzan; Naib Pengerusi Amanah negeri dan Mustaffa Kadir.

Hasan yang juga Ahli Parlimen Tampin itu berkata, Amanah akan turun membantu sepanjang kempen PRK berlangsung.

“Apa yang kita harapkan ialah pengundi akan turun beramai-ramai untuk PRK Port Dickson. Kita yakin senario kempen akan rancak pengundi mahu Anwar menang bagi membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Dalam pada itu Hasan juga berharap media berlaku adil dalam melaporkan sebarang berita bagi pihak PH dan juga parti lawan.

“Walaupun PH adalah kerajaan sekarang tetapi media bebas dan patut beri ruang sama rata kepada PAS dan calon lain,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, Datuk Danyal Balagopal Abdullah memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk VS Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Semalam media melaporkan PAS akan meletakkan calon bertanding pada PRK Parlimen Port Dickson.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilapor sebagai berkata pengumuman calon akan dibuat di Port Dickson malam ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat atas dasar menghidupkan sistem demokrasi dan mahu rakyat mempunyai pilihan dalam menentukan pemimpin mereka meskipun PRK itu diadakan secara tergesa-gesa. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.