Khalid Samad Nafi DBKL Akan Tutup Pusat Tahfiz, Dakwa Media Salah Lapor

PETALING JAYA – Selepas mendapat kritikan hebat, Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad semalam menafikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menutup pusat tahfiz tidak berdaftar dan beroperasi secara haram di ibu kota.

Beliau sebaliknya menyalahkan media salah lapor kenyataannya kelmarin.

“Kementerian Wilayah telah mengambil keputusan untuk mewajibkan semua pusat tahfiz di Kuala Lumpur didaftarkan untuk memastikan keselamatan, kebajikan dan pembelajaran pelajar-pelajar tahfiz berada dalam keadaan baik.

“Oleh itu, laporan sesetengah media yang pusat-pusat tahfiz tidak berdaftar di Kuala Lumpur akan segera ditutup adalah tidak tepat dan salah lapor,” katanya dalam satu kenyataan.

Khalid berkata, pusat tahfiz yang beroperasi secara haram diberi masa sehingga 31 Disember ini untuk mendaftar dengan DBKL dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

“DBKL dengan kerjasama bomba dan Tenaga Nasional Berhad akan memeriksa keadaan fizikal pusat-pusat tahfiz ini agar memenuhi keperluan minima dari segi keselamatan dan keselesaan pelajar, manakala Jawi akan melihat kurikulum dan pembelajaran pelajar.”

Katanya, Kementerian Wilayah akan mempertimbangkan sokongan sewajarnya diberikan kepada pusat tahfiz yang gagal memenuhi keperluan keselamatan dalam memastikan ia mencapai syarat ditetapkan.

Kelmarin, media memetik Khalid sebagai berkata, DBKL akan menutup semua pusat tahfiz tidak berdaftar dan beroperasi secara haram, termasuk pusat tahfiz di Kepong yang pengetuanya didakwa meliwat 9 pelajar, bagi memastikan keselamatan serta kebajikan pelajar terjamin.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mempertikaikan arahan mengutamakan penutupan pusat tahfiz haram berbanding kedai arak, susulan kes pengambilan arak tiruan yang meragut 37 nyawa setakat hari ini.

Katanya, kerajaan sepatutnya menutup premis haram merosakkan seperti rumah urut, pusat hiburan dan kilang haram yang terus berleluasa, bukannya menghukum pusat tahfiz lain disebabkan kes pengetua pusat tahfiz di Kepong yang dipercayai meliwat 9 pelajarnya berusia 11 hingga 16 tahun.

Suspek berusia 30 tahun itu kemudiannya didakwa dengan 11 pertuduhan di Mahkamah Seksyen Putrajaya, Rabu lalu, mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.