Kenapa Pemimpin PH Bisu Bila Kerajaan Boleh Saman Rakyat

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak hari ini mempertikaikan tindakan ‘mengunci mulut’ pemimpin Pakatan Harapan terhadap kerajaan itu yang memfailkan saman terhadap pemimpin politik. 

Kata bekas Perdana Menteri itu jika Barisan Nasional (BN) sebelum ini memerintah, tindakan saman akan mengundang pelbagai persepsi buruk dan kecaman pelbagai pihak namun berlaku sebaliknya pada hari ini. 

“Jika keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini bahawa kerajaan-kerajaan persekutuan dan negeri ada hak untuk memfailkan saman fitnah terhadap individu termasuk ahli politik, diputuskan ketika kerajaan BN masih mentadbir, sudah tentu berpuluh-puluh aktivis NGO dan pemimpin Pakatan berlumba-lumba mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan ini tidak adil, zalim, menindas, berbahaya, meragut demokrasi, mengancam kebebasan bersuara dan kebebasan media.

“Namun sehingga kini, tiada seorang pun pemimpin Pakatan mengulas tentang keputusan mahkamah hari ini yang bakal memberi kesan yang amat besar,” katanya menerusi akaun Facebook hari ini. 

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan kerajaan persekutuan dan negeri boleh membuat saman fitnah terhadap individu, dan menolak prinsip Derbyshire dalam “common law” Inggeris yang melarang pihak berkuasa membawa tindakan terhadap orang yang merendahkan reputasinya.

Sebelum ini prinsip itu diterima oleh Mahkamah Rayuan semasa membatalkan saman oleh bekas Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng terhadap media.

Najib berkata Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia melarang kerajaan membuat saman fitnah terhadap rakyat masing-masing.

Dengan kuasa menyaman kerajaan tambah Najib memberi peluang kepada Pakatan Harapan untuk menyekat kebebasan hak bersuara pelbagai pihak termasuk pemimpin politik sepertinya. 

“Di kebanyakan negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, undang-undang mereka tidak membenarkan kerajaan untuk memfailkan saman fitnah ke atas rakyat masing-masing.

“Oleh itu, keputusan hari ini mungkin memberi ruang yang besar kepada kerajaan PH untuk mengancam hak bebas bersuara dan hak mengkritik kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri,” ujarnya. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.