Isa Samad Mungkin Dipecat dari UMNO

KUALA LUMPUR: Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berdepan dengan tindakan dipecat daripada UMNO jika meneruskan keputusan bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Mohd Sharkar Shamsudin, berkata perkara itu termaktub dalam perlembagaan parti dan terpakai kepada semua ahli tanpa mengira kedudukan dan jawatan.

Bagaimanapun, beliau berkata tindakan disiplin termasuk memecat Mohd Isa bergantung kepada keputusan pucuk kepemimpinan parti dan Lembaga Disiplin.

“Pertama, kita ucapkan selamat berjaya kepada Tan Sri Isa jika betul beliau hendak bertanding dalam PRK Port Dickson.

“Ia mungkin keputusan peribadi beliau dan tidak ada kena mengenai dengan parti. Akan tetapi mana-mana ahli yang menjadi calon bebas, secara automatik keahliannya terlucut. Itu memang dalam perlembagaan.

“Tetapi, kini UMNO sudah kalah dan jadi pembangkang, mungkin parti berubah pendekatan, kita tidak tahu.

Terpulang kepada kepada keputusan pucuk pimpinan menentukan kedudukan Mohd Isa,” katanya sebelum menghadiri mesyuarat khas MKT UMNO di Menara Dato Onn, malam ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Mohd Isa yang dilaporkan mahu bertanding atas tiket bebas dalam PRK itu.

Mohd Isa dilaporkan berkata, keputusan bertanding atas tiket bebas dibuat selepas UMNO membuat keputusan memboikot PRK berkenaan.

Barisan Nasional (BN) sebulat suara memboikot PRK itu dengan tidak meletakkan calon.

Mohd Isa yang berpengalaman sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun mulai tahun 1982 sehingga 2004, juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang dalam Parlimen Teluk Kemang pada PRK 2009.

PRK Parlimen Port Dickson akan diadakan 13 Oktober ini susulan peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk memberi laluan kepada Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon PRK Parlimen Port Dickson pada Sabtu ini. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.