Campur Tangan Pemimpin Pusat Punca Bersatu N. Sembilan Bergolak

KUALA LUMPUR – Campur tangan kepimpinan pusat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi punca Bersatu Negeri Sembilan bergolak hingga membawa kepada pembubarannya hari ini.

Sumber berkata, sejak awal penubuhan parti itu lagi kepimpinan pusat sering masuk campur dalam meletakkan barisan kepimpinan negeri.

“Kami mahu melantik barisan kepimpinan dalam kalangan mereka yang berwibawa dan berbakat, tetapi pemimpin pusat lebih berminat untuk meletakkan pemimpin yang mempunyai hubungan baik dengan mereka,” katanya sumber itu lagi.

Hari ini Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembubaran Bersatu Negeri Sembilan serta dua bahagian di Selangor kerana pelbagai masalah dan konflik dalaman parti.

Pengumuman mengejut oleh Muhyiddin itu dibuat ketika Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berada di Amerika Syarikat kerana lawatan kerja.

Dua bahagian di Selangor yang dibubarkan serta-merta adalah Ampang dan Subang yang dikatakan sengaja ‘buat pandai’ dan tidak mengikut arahan parti.

Susulan pembubaran itu, barisan kepimpinan baharu akan disusun semula oleh Pengerusi Bersatu Negeri, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang mengambil-alih sementara pengurusan.

Rais mengumumkan proses penyusunan itu akan mengambil masa lebih dua bulan dan situasi tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan Pakatan Harapan berikutan kerajaan yang baharu dibentuk ini perlu menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Port Dickson.

Pilihan raya kecil itu diadakan setelah penyandangnya meletakkan jawatan bagi membolehkan Datuk Seri Anwar bertanding dan sekaligus masuk kembali ke Parlimen.

Langkah itu bertujuan membolehkan Anwar mengambil-alih kepimpinan negara daripada Dr. Mahathir dan sekaligus menjawat jawatan Perdana Menteri kelapan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.