Biarlah Berusia Janji Bahagia – Shima Anuar

KUALA LUMPUR: Sering diaju pertanyaan mengenai usia suaminya, pelakon Shima Anuar mengambil pendekatan berterus terang mengenai perkara itu dan mengakui, dia bahagia bertemu jodoh dengan lelaki matang.

Shima atau nama sebenarnya, Noor Hashimah Anuar, 27, menjelaskan, biarpun jarak usianya dan suami, Mohd Solih Toha, 50, berbeza 23 tahun, dia bertuah kerana lelaki itu menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan baik.

“Saya sering diaju persoalan mengenai usia suami kerana ramai berpendapat, dia kelihatan lebih berusia berbanding saya. Saya ambil pendekatan membuka mulut supaya tiada lagi pihak yang keliru mengenai perkara itu.

“Biarpun jauh lebih matang, saya bersyukur penampilan suami masih bergaya dan tidak kelihatan seperti usia sebenarnya. Dalam perkahwinan, rupa paras bukan ukuran dan penentu utama kebahagiaan.

“Saya bersyukur lebih setahun menjadi isterinya, suami menjaga makan, pakai dan menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Tidak pernah lagi dia meninggikan suara atau naik tangan jika ada perkara yang tidak kena,” katanya.

Pelakon yang dikenali menerusi filem, Highland Tower itu bagaimanapun, berharap peminat tidak salah faham kerana dia tidak pernah marah dengan pertanyaan mereka. Dia sebaliknya, pelik mengapa soalan yang sama sering diajukan sejak mereka bertemu jodoh.

Shima mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan yang juga duda kepada dua cahaya mata, pada 8 April tahun lalu. Pasangan itu dikurniakan cahaya mata perempuan, Marian Sophia yang kini berusia lapan bulan.

Dalam perkembangan lain, Shima baru memulakan penggambaran drama 30 episod, Isteri Dalam Sangkar yang turut dibintangi Nina Iskandar. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.