VIDEO: Banyak Masalah, Muhyiddin Umum Pembubaran Parti Bersatu Negeri Sembilan

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan BERSATU Negeri Sembilan dibubarkan kerana mempunyai banyak masalah.

“Kita guna pakai keputusan bubar BERSATU yang telah tertubuh awal untuk Negeri Sembilan kerana kita ada banyak masalah.

“Jadi (jabatan pendaftar pertubuhan) ROS bagi nasihat untuk bubar dan lantik semula pimpinan di peringkat negeri,” kata Muhyiddin selaku presiden parti itu pada sidang media di Ibu Pejabat BERSATU, hari ini.

Muhyiddin yang juga adalah menteri dalam negeri yang bertanggungjawab terhadap jabatan pendaftar pertubuhan berkata, Tan Sri Rais Yatim akan mengetuai penubuhan baru BERSATU di Negeri Sembilan.

Ketika ditanya apa masalah yang dihadapi BERSATU kawasan itu, Muhyiddin berkata: “Kita berhadapan banyak masalah, ada yang buat laporan polis, buat sidang media… saya tak nak ulas panjang,” katanya.

Rais dilantik sebagai ketua badan pimpinan BERSATU Negeri Sembilan yang diberi tanggungjawap untuk merombak dan menstruktur semula badan kepemimpinan parti itu pada peringkat akar umbi pada Selasa minggu lalu.

Ahli Parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Shith, yang juga timbalan menteri komunikasi dan multimedia, dilantik sebagai timbalannya.

Kepincangan pada kepemimpinan BERSATU Negeri Sembilan terdedah apabila Penyelaras BERSATU Bahagian Port Dickson, Ramli Awang, mengeluarkan kenyataan melarang dua pemimpin PKR berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, baru-baru ini.

Beliau memberi amaran kepada Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid supaya tidak berkempen di kawasan itu kerana kesal mereka kerap menuduh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin mahu menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan itu kemudian dibalas oleh Ketua Pendaftar BERSATU negeri, Datuk Mohamad Zin Mustapa, yang tidak bersetuju dengan tindakan Ramli, malah mendakwa jawatannya sudah terlucut kerana memohon menjadi ahli PKR.

Ramli yang mendakwa masih memegang jawatan itu, bagaimanapun mempertahankan tindakannya dan bersedia dikenakan tindakan oleh pihak atasan parti, jika beliau didapati melakukan kesalahan. – Mkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.