AMANAH ‘Risik’ Bekas Pimpinan UMNO

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (AMANAH) membuka pintu buat mana-mana pemimpin UMNO yang mahu menyertai parti mereka.

Timbalan Presidennya Datuk Salahuddin Ayub berkata, AMANAH kini dalam usaha “merisik” bekas pimpinan UMNO yang keluar parti untuk menyertai mereka selepas ini, malah sudahpun mengadakan pertemuan dengan pemimpin tersebut.

“Setakat ini kita sedang merisik-risik, berjumpa-jumpa begitulah.

“Tiada masalah kalau pemimpin Umno nak masuk ke dalam Amanah kerana kita amal dasar terbuka, jadi kita terima,” katanya dipetik FMT.

Tiga pemimpin UMNO meninggalkan parti dalam tempoh dua minggu, iaitu Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed, diikuti Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman dan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee. 

Salahuddin dalam pada itu memberitahu, Amanah juga ada menerima permohonan daripada bekas pimpinan Umno untuk menyertai parti itu.

“Kita ada menerima permohonan, tapi mereka belum datang secara rasmi lagi, kita lihat perkembangannya dahulu.

“Tapi kami akan putuskan dalam mesyuarat akan datang,” katanya lagi.

Selain Amanah, PPBM juga membuka pintu untuk menerima ahli UMNO menyertai parti itu.

PPBM sebelum ini mengangkat moratorium ke atas penerimaan ahli daripada parti lawan. Moratium itu dikenakan 2 bulan selepas pengerusinya Tun Dr Mahathir berkata PPBM akan menerima bekas ahli Umno dengan syarat mereka menjadi ahli bebas terlebih dahulu. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.