Wartawan Turki Mustafa Akyol Dipercayai Sudah Meninggalkan Malaysia

KUALA LUMPUR – Wartawan Turki, Mustafa Akyol dilaporkan telah meninggalkan Malaysia selepas ditahan selama beberapa jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang malam tadi.

Memetik portal media Turki, turkishminute.com, Akyol yang merupakan seorang penulis terkenal itu turut dipercayai sudah meninggalkan negara ini hari ini, petik Awani.

Namun, tiada waktu pelepasan atau destinasi seterusnya dinyatakan dalam laporan media tersebut.

Melalui satu kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Haji Mustafar Ali hari ini, Akyol ditahan selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) KLIA melalui Ketua Pasukan yang bertugas telah menerima permohonan kesan dan tahan dari pihak TCO berkaitan seorang warganegara Turki, Mustafa Akyol, pada 25 September 2017 jam 6 petang.

Edaran makluman penahanan telah dihebahkan kepada semua kaunter pemeriksaan Imigresen, kenyataan itu berkata.

Subjek telah ditahan di kaunter 17 balai berlepas KLIA pada jam lebih kurang 9 malam.

Pegawai yang bertugas di kaunter telah merujuk kepada penyelia bertugas. Kemudian, penyelia bertugas telah menghubungi pihak TCO dan sabjek telah diserahkan kepada pihak TCO pada jam 9.30 malam.

Akyol yang bercadang meninggalkan Malaysia selepas dipanggil pihak berkuasa agama untuk soal siasat ditahan di lapangan terbang malam tadi.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  Islamic Renaissance Front (IRF) yang menjadi tuan rumah kepada forum yang sepatutnya dihadiri Mustafa memuat naik catatan di Twitter mengatakan Mustafa telah ditahan di KLIA.

Mustafa merupakan pengkritik Presiden Recep Tayyip Erdogan, dan dikenali kerana lantang mengkritik penyokong Islamisme dan sekularisme di negara asalnya.

Lawatan ini merupakan kunjungan kelima Akyol ke Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Abdul Aziz Jusoh dalam satu kenyataan media hari ini mengesahkan bahawa satu waran tangkap telah dikeluarkan pada Isnin ke atas Mustafa di bawah Seksyen 58(2) Akta Tatacara Jenayah Syariah kerana kesalahan mengajar agama tanpa tauliah.

“Mustafa ditahan di KLIA pada 25 September oleh Polis dan dibawa ke JAWI untuk diambil keterangan.

“Beliau dibebaskan pada 26 September jam 12 tengah hari setelah Penguatkuasa Agama JAWI melengkapkan siasatan. Mustafa tidak dimaklumkan bahawa penganjur perlu mendapatkan tauliah daripada pihak berkuasa agama bagi mana-mana individu yang mengajar mengenai Islam di negara ini,” katanya.

Jawi menasihati mana-mana penganjur bagi memastikan para penceramah yang diundang untuk menyampaikan apa jua bentuk ceramah berkaitan dengan agama Islam mempunyai tauliah mengajar seperti yang dikehendaki undang-undang di negara ini.

Aziz juga memberi amaran tindakan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 akan dikenakan terhadap penceramah yang gagal berbuat demikian.

Akta berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

“Penganjur juga boleh didakwa bersubahat dan boleh dikenakan hukuman sama apabila disabitkan,” kata Aziz lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.