Ubat Tiruan Bernilai Lebih AS$51 Juta Dirampas

PARIS – Polis antarabangsa Interpol merampas sejumlah 25 juta ubat-ubatan haram dan tiruan bernilai lebih AS$51 juta (RM214.5 juta ) dalam operasi selama seminggu di seluruh dunia.

Makanan tambahan, ubat tahan sakit, kanta sentuh tiruan, ubat sawan dan 1.2 tan pil rawatan mati pucuk merupakan antara ubat yang dirampas, kata agensi berkenaan yang berpangkalan di Lyon, Perancis dalam satu kenyataan kelmarin, lapor AFP.

Interpol melancarkan operasi Pangea X melibatkan anggota polis, kastam dan pihak berkuasa kesihatan di 123 negara dari 12 hingga 19 September lalu yang membawa kepada 400 tangkapan.

Interpol turut menyasarkan penjualan ubat tiruan secara online dengan 3,584 laman web ditutup dan lebih 3,000 iklan online dihentikan.

“Ini kali pertama operasi seumpamanya disertai oleh banyak negara Afrika. Penjualan ubat tiruan semakin membimbangkan di seluruh Afrika berikutan ia boleh mengundang bahaya kepada kesihatan pembelinya,” kata ketua pejabat Interpol di Namibia, Immanuel Sam.

Selain itu, penyalahgunaan opioid mencapai tahap menakutkan di beberapa buah negara yang mendorong operasi Pangea X menyasarkan penjualan ubat tahan sakit terutamanya Fentanyl. Banyak laman web menjual ubat itu ditutup termasuk laman web yang mengiklankan jualan Fentanyl tanpa preskripsi doktor.

Operasi Pangea kali pertama dilancarkan pada 2008 dan sejak itu, ia digunakan untuk mengawasi peningkatan laman web tanpa lesen yang menjual produk farmaseutikal.

“Penjenayah mengeksploitasi trend penjualan ubat secara online untuk mengaut keuntungan mudah walaupun mereka mengancam nyawa manusia,” kata Pengarah Eksekutif Kepolisan Interpol, Tim Morris.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.