Perintah Berkurung Di Timur Sabah Dilanjutkan

KUALA LUMPUR – Perintah berkurung di Timur Sabah dilanjutkan dua minggu lagi mulai esok sehingga 13 Oktober ini

Tempoh perintah itu dikuatkuasakan dari jam 6 petang hingga 6 pagi, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din.

Menurut beliau, lanjutan itu dibuat berikutan ancaman berterusan daripada pengganas dan kumpulan penculikan merentas sempadan dari Filipina.

Pelaksanaan perintah berkurung itu dikuatkuasakan di perairan bermula tiga batu nautika dari pantai di tujuh daerah iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Ramli berkata, pihaknya masih menerima maklumat bahawa kumpulan penculikan seperti Abu Sayyaf masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan jenayah di perairan itu.

“Pelaksanaan perintah berkurung ini membolehkan penguatkuasaan dan pemantauan pergerakan bot dan menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan aktiviti perikanan dengan kehadiran kapal pasukan keselamatan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Bagaimanapun, semua ketua polis di daerah-daerah berkenaan telah diberikan kuasa untuk mengeluarkan permit kepada pemohon yang memenuhi syarat bagi tujuan aktiviti perikanan atau laluan melalui kawasan perintah berkurung sepanjang tempoh itu. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.