Menteri: Tiada Laporan 3 Pelajar Dijangkiti H1N1 Di Melaka

Kementerian Kesihatan pada masa ini tidak menerima sebarang laporan mengenai dakwaan tiga pelajar di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Melaka dijangkiti virus Influenza A H1N1 seperti yang tular di media sosial.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata pihaknya masih menunggu laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengenai dakwaan tersebut dan memantau rapi perkembangan perkara itu.

“Saya berharap masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Pemantapan Kualiti Kepimpinan Guru Besar dan Guru Penolong Kanan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) negeri Johor di Ayer Keroh di Melaka semalam.

Program yang berlangsung selama tiga hari itu bertujuan memantapkan lagi kualiti pelajar-pelajar SJKT di samping menyarankan agar para guru mengambil inisiatif untuk memberi pendedahan awal mengenai suasana pembelajaran sekolah menengah yang mana kebanyakannya daripada pelbagai kaum.

Sejak minggu lepas, tular pesanan audio berdurasi 54 saat di aplikasi WhatsApp yang kedengaran sebagai seorang lelaki memberi amaran tidak membenarkan pelajar menghadiri sesi persekolahan di sebuah SJKC kerana dakwanya sekumpulan besar pelajar sekolah termasuk anaknya telah dimasukkan ke hospital swasta akibat penyebaran H1N1.

Sementara itu, Timbalan Exco Kesihatan, Pembangunan Sukan dan Anti Dadah Melaka, Datuk Ng Choon Koon berkata pihak Jabatan Kesihatan Melaka masih menjalankan siasatan lanjut mengenai dakwaan berkenaan.

“Saya sendiri telah telah membuat tinjauan di hospital itu dan pihak hospital mengesahkan hanya terdapat satu kes disyaki sahaja, saya menafikan dakwaan bahawa terdapat ramai pelajar yang dimasukkan ke hospital itu kerana H1N1,” katanya.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana Jabatan Kesihatan Negeri akan melakukan pemantauan terhadap kes tersebut dari semasa ke semasa dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya jangkitan itu benar-benar berlaku.- Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.