Maya Lebih Suka Berkebun Dari Kejar Glamor

Pasti ramai tertanya-tanya mengapa kelibat pelakon popular Maya Karin jarang dilihat hadir memenuhi majlis-majlis keramaian berbanding sesetengah artis lain.

Sebenarnya, Maya lebih selesa menghabiskan waktu terluang dengan aktiviti berfaedah atau yang boleh melapangkan fikiran.

Katanya, perkara itu lebih baik berbanding cuba mencuri perhatian orang ramai dengan imej atau penampilan serba glamor.

“Saya bukanlah seorang wanita yang ingin dilihat sentiasa cantik, mengenakan solekan di wajah sebaik bangun pagi atau memakai pakaian cantik.

“Dari segi personaliti itu bukanlah diri saya malah cara itu juga dilihat tidak bersesuaian dengan diri saya yang sebenarnya.

“Saya lebih suka mengisi masa lapang dengan berkebun,” katanya.

 

Maya ditemui pada sidang media pelancaran teater Tun Fatimah di Istana Budaya, Kuala Lumpur semalam.

Walaupun gaya hidup glamor sebahagian daripada kerjaya seninya, Maya menjalani kehidupan tidak ubah seperti orang biasa.

Sama seperti peminat filem, pelakon Ombak Rindu itu juga sering mengunjungi pawagam bagi menghayati filem-filem terbaru sama ada terbitan tempatan mahupun luar negara, selain sesekali berkunjung ke restoran mamak bersama rakan-rakannya.

Sebenarnya, Maya mengakui dia hanya membuat kemunculan sekiranya benar-benar diperlukan seperti promosi filem lakonannya.

“Dahulu saya memang dapat banyak undangan untuk memeriahkan majlis pelancaran produk baru misalnya, tetapi sekarang tidak lagi.

“Mungkin mereka sudah faham bahawa saya kurang membabitkan diri di acara sebegitu. Saya hanya akan pergi ke sesuatu majlis apabila perlu melaksanakan tanggungjawab berkaitan kerja,” katanya.

Naskhah Tun Fatimah

Untuk rekod, anak berdarah kacukan Melayu – Jerman itu memang seorang yang ‘cerewet’ dalam bidang lakonan.

Selama 16 tahun berkecimpung dalam industri, dia tidak pernah sekalipun tampil menghiasi sebarang drama mahupun telefilem.

Sementara itu, mengulas pembabitannya dalam naskhah Tun Fatimah arahan Lokman Ghani, Maya berkata selepas teater Natrah, ini adalah kali kedua dia bakal menjiwai watak berat.

Katanya, hatinya mulai terbuka untuk menjayakan watak serikandi empayar Melaka itu atas dorongan cabaran berlakon dalam teater bangsawan.

“Saya tidak pernah berlakon teater bangsawan. Saya menerima tawaran ini kerana ia dapat mengukuhkan lagi darah Melayu yang mengalir dalam tubuh,” katanya.

Selain Maya, Tun Fatimah turut dibarisi pelakon Remy Ishak, Ashraf Muslim, Isma Halil dan Ebby Yus.

Teater Tun Fatimah yang akan dipentaskan pada 20 dan 21 Oktober depan diadakan bersempena sambutan ulang tahun kelahiran Gabenor Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob yang ke-79.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.