Malaysia, Hong Kong Catat Pertumbuhan Ekonomi Paling Tinggi Di Asia – Bloomberg

Malaysia dan Hong Kong mengejutkan pasaran Asia selepas mencatatkan pertumbuhan paling tinggi dalam kalangan negara-negara rantau Asia, lapor media antarabangsa, Bloomberg.

Bloomberg memetik pengamatan oleh Bank Pembangunan Asia (ADB) melaporkan bahawa kedua-dua negara berkenaan menerima pelaburan terbesar menjadikannya ekonomi negara masing-masing paling laris.

India dalam pada itu menunjukkan trend pelaburan menurun.

“Pemulihan dagangan global membantu memangkin eksport di Hong Kong dan Malaysia sementara kejatuhan nilai mata wang dan pelaksanaan rejim cukai barangan dan perkhidmatan di India telah membebankan perbelanjaan pengguna dan pelaburan perniagaan.

“Ekonomi India dijangka pulih pada 2018 dengan unjuran percambahan 7.4%.

“Secara keseluruhan, prospek pembangunan Asia adalah kukuh walaupun terdapat risiko perubahan mendadak dasar kewangan dam geopolitik atau berkaitan bencana alam Amerika,” lapor Bloomberg.

Sementara itu, pakar ekonomi tempatan, Dr Yeah Kim Leng menggariskan tiga kriteria perlu dilaksanakan Malaysia dalam merealisasikan usaha menjadikan negara sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi.

Langkah pertama kata Dr Yeah adalah untuk meningkatkan lagi populasi golongan belia dalam tempoh 15 tahun ke hadapan.

Ujarnya, jumlah rakyat Malaysia kini adalah sekitar 32 juta orang namun pertumbuhan populasi berkurang daripada 2% kepada 1.1 – 1.3 %, lantas menjadikan jumlah golongan belia semakin berkurangan.

Jelas beliau, pengurangan populasi belia akan membantutkan usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi disebabkan oleh kekurangan tenaga kerja baru.

Kriteria kedua menurut Dr Yeoh adalah membekalkan tenaga pekerja berkebolehan dan berkemahiran tinggi.

“Kita harus memastikan adanya pembangunan kemahiran dan bakat, mengekalkan produktiviti dan mengekalkan pertumbuhan dengan lebih cepat,” ujarnya dipetik FMT.

Bekas Ketua Pakar Ekonomi RAM Holdings Group itu menjelaskan bahawa Malaysia perlu mencipta lebih banyak ahli perniagaan dan meningkatkan kebolehan inovatif dalam kalangan orang muda segera.

Katanya, daripada sekadar membekalkan tenaga kerja semata-mata; daya kreatif, inovasi dan teknologi akan membawa Malaysia ke satu tahap lebih tinggi di masa akan datang.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita merupakan kriteria yang perlu dititikberatkan dan pertumbuhan 3% hingga 4% setahun menjadikan Malaysia kini dalam landasan tepat dalam merealisasikan negara berpendapatan tinggi.

Ujarnya, pendapatan per kapita negara-negara Eropah tumbuh sekadar 1% hingga 2% namun mereka telah mencapai tahap negara maju.

“Jika kita boleh mengekalkan pertumbuhan KDNK per kapita 3.5% dan ke atas, kita boleh mencapai status pendapatan tinggi pada 2020, tetapi kita juga perlu memastikan kadar inflasi rendah dan tukaran asing kukuh,” ujarnya lagi. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.