Konflik Korea Utara-AS kritikal

NEW YORK – Menteri Luar Korea Utara, Ri Yong-ho kelmarin menuduh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengisytiharkan perang ke atas negaranya dan menegaskan bahawa Pyongyang berhak mempertahankan diri dengan menembak jatuh pesawat pengebom AS.

Ancaman terbaharu itu menyusul selepas perang mulut sejak seminggu lalu yang bermula apabila Trump dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengancam akan menghancurkan Korea Utara jika Pyongyang berani menyerang AS dan sekutunya, lapor Kosmo.

Yong-ho memberi amaran balas kepada Trump selepas pemimpin AS itu membuat kenyataan di laman Twitter pada hujung minggu lalu bahawa Korea Utara ‘tidak akan hidup lama’ jika terus mengancam AS.

Kata Yong-ho, masya­rakat antarabangsa berharap agar perang mulut antara Korea Utara dan AS tidak akan bertukar menjadi perang sebenar.

“Namun, Trump me­ngugut bahawa Kim Jong-un (pemerintah Korea Utara) tidak akan hidup lama. Beliau sememangnya mengisytiharkan perang ke atas negara kami.

“Oleh kerana AS mengisytiharkan perang, maka kami mempu­nyai hak untuk mengambil tindakan balas termasuk menembak jatuh pesawat pengebom AS di Semenanjung Korea walaupun ketika ia bukan berada di ruang udara Korea Utara. Persoalan siapa yang akan hidup lama itu akan terjawab,” katanya.

Yong-ho berkata lagi, kenyataan Trump jelas sebagai pengisytiharan perang walaupun di bawah Perlembagaan AS, hanya Kongres yang boleh mengisytiharkan pe­perangan.

Dalam ucapan pertamanya di Perhimpunan Agung PBB ming­gu lalu, Trump mengancam untuk memusnahkan Korea Utara dan menggelar Jong-un sebagai ‘rocket­ man’ yang sedang dalam misi bunuh diri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.