‘Kalau Berdegil, Boleh Keluar Dari Johor, Buka Kedai Di Afghanistan’ – Sultan Johor

Operasi dobi khas di Muar yang hanya mengkhususkan untuk pelanggan beragama Islam sahaja dimurka Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menyifatkan amalan tersebut sebagai mengarut dan memalukan seluruh bangsa Johor.

Menerusi laporan eksklusif akhbar The Star hari ini, baginda mengarahkan supaya pengusaha dobi itu membuat permohonan maaf atau bakal berdepan tindakan tegas termasuk penutupan beroperasi.

“Beta mahu pemilik dobi itu memohon maaf kepada beta dan seluruh rakyat Johor. Dia telah membuat orang Johor malu dan marah kerana ini bukanlah apa yang Johor mahukan.

“Pemilik itu juga telah melanggar visi Johor untuk bersatu, hidup harmoni, bersederhana dan bertoleransi,” titah Sultan Ibrahim dalam temu bual bersama The Star di Istana Bukit Serene pada Selasa.

Baginda menegaskan pemilik dobi itu boleh keluar dari negeri Johor sekiranya masih berdegil dan mahu meneruskan perkhidmatan dobi “mesra Muslim” itu.

“Beta cadangkan dia buka kedai di Afghanistan. Pemikirannya sempit dan tidak seiring dengan apa yang diperjuangkan di negeri ini,” titah baginda.

Sultan Ibrahim menambah, negeri Johor dimiliki oleh semua rakyat tidak kira bangsa dan agama.

“Negeri ini adalah progresif, moden dan bersederhana.

“Ini bukan negara Taliban dan sebagai Ketua Agama Islam di Johor, beta merasakan tindakan ini sama sekali tidak boleh diterima dan bersifat ekstremis,” titah baginda memetik laporan akhbar tersebut.

Terdahulu, gambar papan tanda tertulis “mesra Muslim” dan menyatakan kedai dobi itu hanya menerima pelanggan beragama Islam sahaja menjadi tular di laman Facebook sehingga mencetuskan perdebatan dalam kalangan pelbagai pihak.

Meskipun pelbagai pihak termasuk Putera Johor, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Sultan Ibrahim dan Mufti Perlis mengkritik kewujudan dobi khas itu, namun Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsudin dilapor Harian Metro, memuji dasar itu sebagai “cantik”.

Mengulas mengenai perkara itu, Sultan Ibrahim dilaporkan bertitah kepada Mohd Tahrir dan mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abdul Mutalip Abd Rahim, majlis agama serta majlis daerah supaya segera menyiasat perkara itu.

Sultan Ibrahim turut melahirkan rasa terkejut dengan tindakan pemilik dobi itu.

Baginda juga mengutuk perbuatan pemilik dobi itu sebagai “berlagak pandai” apabila menukar papan tanda daripada Muslim sahaja kepada “mesra Muslim” selepas isu tersebut menjadi kontroversi.

Baginda bertitah, perbuatan itu perlu dihentikan kerana ia boleh membuka ruang kepada lebih banyak perkara yang berfikiran sempit dengan menggunakan nama Islam.

“Beta mahu hentikan ekstremism. Perlakuan ekstremis tiada tempat di negeri beta. Kita ada maruah sebagai Bangsa Johor dan beta mahu tahu di mana pemilik dobi itu belajar agama? Islam mengajar untuk bertoleransi dan menghormati kepercayaan orang lain,” titah Sultan Ibrahim. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.