Imigresen Tahan 80 Warga Asing Di Pusat Hiburan

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen menahan 80 warga asing, termasuk empat  ‘mak nyah’ warga Thailand, dalam satu operasi di sebuah pusat hiburan kelab malam di kawasan Kepong, Kuala Lumpur awal pagi tadi disyaki terlibat menjalankan aktiviti tidak bermoral termasuk pelacuran.

Selain empat “mak nyah” terbabit, antara yang ditahan termasuk 54 wanita warga Thailand, lapan lelaki warga Thailand, lapan wanita warga Laos, tiga lelaki warga Myanmar, dua wanita warga Indonesia dan seorang lelaki warga Bangladesh.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata kesemua mereka yang bekerja sebagai pemain muzik, penari, penyanyi, pelayan pelanggan (GRO) dan juga pekerja ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral di premis terbabit.

“Pihak kami mendapati terdapat aktiviti ‘kalungan bunga’ dan persembahan ‘cat walk’ di atas pentas di premis hiburan tersebut dengan bayaran bagi kalungan bunga adalah sebanyak RM20, mahkota bernilai RM100,” katanya.

Beliau berkata terdapat juga aktiviti pemberian jubah bernilai RM688 oleh pelanggan sebagai tip kepada wanita-wanita yang dipilih dan kemudian dibenarkan membawa keluar wanita yang dihadiahkan jubah tersebut.

Mustafar berkata turut ditahan dalam operasi tersebut adalah tiga lelaki dan seorang wanita tempatan yang disyaki berperanan sebagai bapa ayam dan ibu ayam untuk kesemua warganegara asing di lokasi kejadian tersebut.

“Hasil soal siasat awal mendapati warga asing yang ditahan memasuki Malaysia dengan hanya menggunakan Pas Lawatan Sosial bagi tempoh 30 hari dan menjalankan aktiviti-aktiviti tidak bermoral ini untuk mengaut keuntungan yang lebih dengan mudah,” katanya.

Selain itu, katanya, pekerja dan pelanggan yang berada di dalam premis semasa serbuan dijalankan turut diberi notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan lanjut.

Beliau berkata antara kesalahan yang dikenal pasti hasil operasi tersebut adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

“Kesemua tahanan ini akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan dan tindakan susulan,” katanya.

Tambahnya siasatan dilakukan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.  – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.