Golongan Gelandangan Kini Dikenali Sebagai Rakan Jalanan

Golongan gelandangan yang merujuk kepada mereka yang tidak mempunyai pekerjaan dan penempatan tetap serta tinggal di jalanan kini diberikan jolokan baharu iaitu rakan jalanan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Katanya, gelaran baharu itu merupakan antara aspirasi golongan itu sendiri pada sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama Rakan Jalanan yang diadakan di Kuala Kubu Bharu, yang bertujuan memberikan gambaran yang lebih positif terhadap mereka.

“Ini cadangan dan kehendak mereka, jadi kita pakai nama itu dahulu supaya nanti akan menjadi kebiasaan.

Malah ada segelintir (daripada) mereka sebenarnya ada rumah, ada keluarga dan datang ke Kuala Lumpur mahu cari pekerjaan tapi pekerjaan yang mereka dapat itu tidak sesuai dengan jiwa mereka, jadi mereka malu untuk pulang bertemu dengan keluarga,” katanya dalam sidang media selepas sesi dialog itu yang diadakan di Pusat Latihan Khidmat Negara Geo Kosmo, di Kuala Kubu Bharu semalam.

Rohani berkata, antara perkara lain yang turut dibangkitkan golongan itu pada sesi dialog itu adalah mengenai tawaran peluang pekerjaan yang lebih sesuai selain penyediaan tempat tinggal untuk mereka.

Penganjuran program itu adalah siri Dialog TN50 oleh kementerian itu bersama kumpulan sasar bagi memberi peluang mereka menyuarakan harapan bagi meningkatkan taraf hidup mereka.- Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.