Fazley Cuci Tandas, Pinggan Sebelum Berjaya

MESKIPUN semakin aktif melebarkan sayap karier kulinarinya ke persada antarabangsa, cef selebriti terkenal, Datuk Fazley Yaakob mengakui pernah melalui detik sukar dalam hidup sebelum berjaya meletakkan dirinya pada tahap sekarang.

Cerita pemilik nama lengkap, Ahmad Fadzli Yaakob itu, dia pernah bekerja sebagai pencuci pinggan dan tukang cuci tandas di sebuah restoran India ketika sedang melanjutkan pelajaran di New Zealand pada tahun 1996.

Namun, Fazley yang ditemui pada majlis pelancaran dan pengumumannya sebagai duta pasar raya Jaya Grocer baru-baru ini menyifatkan pengalaman tersebut sebagai proses pembelajaran kerana dari situ tekadnya untuk menguasai dunia kulinari semakin membara.

“Ramai yang tidak tahu sebenarnya asas kemahiran memasak saya adalah masakan India, bukannya Perancis. Sebab sewaktu saya menyambung pengajian di New Zealand pada usia 18 tahun, saya pernah bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran India.

“Sepanjang bekerja di sana, saya sempat mengutip ilmu masakan selain mengenal pelbagai jenis rempah-ratus. Malah, saya juga pernah diberi peluang memasak ketika cef di situ tiada. Sebab itu saya pandai menebar roti canai,” ujarnya yang menerima upah sebanyak AS$10 (RM42) sejam.

Diiktiraf

Berkat usaha kerasnya selama ini yang tidak pernah jemu mencuba perkara baharu, Fazley diiktiraf sebagai pemenang Anugerah Alumni Paling Cemerlang pada majlis Gala Le Cordon Bleu yang berlangsung di Paris pada 18 September lalu.

Pada majlis yang berlangsung di kampus institut itu, Fazley menewaskan seorang lagi pesaingnya dari China pada peringkat saringan kedua selepas melepasi peringkat saringan pertama.

“Alhamdulillah, tiada kata-kata yang mampu zahirkan atas penganugerahan tersebut kerana ia bukan sekadar bersifat peribadi. Malah, apa yang membuatkan saya lebih terharu adalah kerana menjulang nama Malaysia di mata dunia.

“Institut ini bukan calang-calang kerana telah banyak melahirkan nama besar dalam bidang pastri di seluruh dunia. Saya berbangga kerana menjadi bekas graduan pertama menerima anugerah ini walaupun masih hijau dalam bidang ini,” katanya mesra.

Penganjuran anugerah yang julung-julung kali diadakan itu didedikasikan khas kepada bekas graduan Le Cordon Bleu yang meraih pelbagai pencapaian cemerlang dalam dunia kulinari, keberkesanan perkongsian ilmu serta mendapat liputan media paling efektif menerusi karier masing-masing selepas menamatkan pengajian.

Pemilihan pemenang diadili oleh empat orang juri iaitu Cef Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Seni Kulinari Le Cordon Bleu Paris, Eric Briffard; Cef Pastri Terbaik Perancis 2015, Jérôme Chaucesse; Cef Eksekutif Restoran Laurent dan Cef Michellin Star, Cef Alain Pégouret serta Pengarah Hotel Sommelier Paris, Estelle Touzet.

Beralih kepada perkembangan terkini, bapa kepada tiga cahaya mata itu bakal muncul dalam sebuah program travelog sebanyak 13 episod di saluran Asian Food Channel (AFC).

Dalam program tersebut, dia akan menjelajah ke beberapa destinasi menarik di India selain memasak makanan negara tersebut.

Menyentuh sisi dunia seninya pula, Fazley yang baru sahaja muncul dengan single Ketiadaan berhasrat untuk tampil dengan buah tangan terbaharu tidak lama lagi iaitu sebuah lagu berbahasa Mandarin.-Kosmo

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.