Erdogan Ancam Etnik Kurdis Iraq

ISTANBUL – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan kelmarin berkata bahawa Ankara akan menutup sempadannya dengan Kurdistan di utara Iraq kerana membantah pungutan suara kemerdekaan yang diadakan di wilayah autonomi itu dan mengancam menyekat eksport minyak etnik Kurdis.

Meskipun menjalinkan hubungan erat dengan Kerajaan Wilayah Kurdistan (KRG), Ankara bimbang pungutan suara kelmarin boleh membangkitkan semangat kemerdekaan dalam kala­ngan puak minoriti Kurdis di Turki, lapor Kosmo.

Erdogan turut membayangkan bahawa tentera Turki bersedia untuk berperang sekiranya perlu.

“Pintu keluar masuk di lintasan sempadan Habur akan ditutup. Ia satu-satunya pintu sempadan antara Turki dan Iraq,” kata Erdogan dalam satu ucapan di Istanbul.

Katanya, penutupan itu akan dibuat pada minggu ini.

“Selepas ini, kita lihat melalui saluran mana mereka (etnik Kurdis) akan menghantar minyak mentah dan kepada siapa mereka akan menjualnya. Nadi eksport ada bersama kami. Ia berakhir pada saat kami menutupnya,” tambah Erdogan.

Minyak mentah dari Kurdistan di Iraq dieksport melalui Turki dan pelabuhan Ceyhan di selatan negara itu yang menjadi nadi penggerak wilayah autonomi Kurdistan.

“Tidak kira apa pun keputusannya, kami menganggap pungutan suara ini tidak sah,” kata Erdogan lagi

Tambahnya, Turki bersedia untuk mengambil semua langkah yang perlu sama ada politik, ekonomi dan perdagangan, malah tidak menolak tindakan ketenteraan ke atas Kurdistan.

Dalam pada itu, perintah berkurung di beberapa kawasan di Kirkuk, utara Iraq ditarik balik semalam, manakala bandar itu tenang di sebalik kebimbangan rusuhan akan berlaku berhubung isu pungutan suara kemerdekaan Kurdistan.

Polis berkata, perintah berkurung itu dikuatkuasakan kelmarin semasa referendum kemerdekaan diadakan di wilayah autonomi Kurdistan, utara Iraq.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.